Azam Azih mohon maaf

Azam (kanan) beraksi cemerlang sebelum diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua. - Foto Facebook FAM
Azam (kanan) beraksi cemerlang sebelum diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua. - Foto Facebook FAM
A
A
A

PEMAIN tengah negara, Nor Azam Azih bersikap merendah diri dan positif dengan sebarang komen apabila mahu menjadikan insiden kad merah di Thailand sebagai pembakar semangat untuk beraksi dengan lebih cemerlang pada masa depan.

Ia susulan layangan kad kuning kedua selepas pemain sensasi Pahang itu menerjah pemain tuan rumah di luar kotak penalti negara yang mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti dalam saingan Piala Raja Thailand di Ching Mai pada Khamis.

Justeru, di atas kesilapan itu Azam memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan mengakui ia hilang fokus pada lewat permainan.

“Minta maaf semua, saya dah cuba yang terbaik tapi hilang fokus minit akhir.

“Komen-komen positif dan negatif semua akan jadi pembakar semangat saya untuk jadi lebih baik di masa akan datang,” tulis Azam di Instagramnya.

Skuad kendalian Kim Pan-gon mara ke pentas final selepas memenangi penentuan sepakan penalti 5-3 setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar dalam aksi yang berlangsung di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai.

Malaysia terlebih dahulu di depan hasil jaringan pemain pertahanan, Corbin Ong pada minit ke-32 sebelum skuad Gajah Perang menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan babak kedua.

Pasukan tuan rumah memperoleh gol penyamaan ekoran kesilapan Azam yang membuat terjahan ke atas pemain lawan di luar kotak penalti negara dengan dia turut menerima padah apabila dilayangkan kad kuning dan diperintahkan keluar padang.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun tuah nyata memihak skuad negara apabila kesemua lima sepakan berjaya disempurnakan, dengan penjaga gol negara, Syihan Hazmi turut cemerlang menafikan sepakan keempat lawan.

Susulan permohonan maaf yang dibuat Azam, rakan sepasukan dan peminat memberikan kata-kata semangat agar menjadikan insiden tersebut sebagai pengajaran berguna.

“Terima kasih keluarga dan pasukan bagi kata-kata semangat," ujar Azam.

Rakan sepasukan juga mahu pemain berusia 27 tahun itu segera bangkit melupakan kejadian tersebut.

“Tak perlu minta maaf. Kita looking forward,” tulis Syafiq Ahmad.

Para pemain negara yang lain termasuk kapten Dion Cools, Safawi Rasid, Darren Lok, Brendan Gan dan Faisal Halim turut memberikan kata-kata semangat kepada Azam yang dilihat agak tertekan dengan insiden tersebut.