Polis siasat dua kes dakwaan cuba culik murid sekolah

Polis melakukan rondaan dan pemantauan serta menasihatkan ibu bapa atau penjaga mengambil anak masing-masing tepat pada waktu. (Gambar dalam : CHOON FOO)
Polis melakukan rondaan dan pemantauan serta menasihatkan ibu bapa atau penjaga mengambil anak masing-masing tepat pada waktu. (Gambar dalam : CHOON FOO)
A
A
A

GUA MUSANG - Polis Kelantan menyiasat dua kes tular melibatkan dakwaan cubaan culik dua murid di sebuah sekolah di daerah Gua Musang di sini pada Isnin dan Selasa.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian pertama didakwa berlaku pada jam 5 petang Isnin lalu terhadap seorang murid Tahun Empat sekolah berkenaan.

“Semasa tamat sesi persekolahan bagi Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), terdapat dua lelaki yang tidak dikenali menaiki kereta jenis Perodua Kancil berwarna putih nombor pendaftaran tidak diketahui berada di seberang jalan menghala ke Gua Musang.

“Mereka memanggil murid tersebut di luar kawasan sekolah tetapi murid itu tidak menghiraukan mereka,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, dakwaan kejadian itu turut tersebar menerusi pesanan suara WhatsApp dan pihak sekolah sudah bertemu dengan murid yang terlibat.

Menurutnya, kejadian kedua pula didakwa berlaku pada jam sama Selasa lalu membabitkan seorang murid Tahun Satu di sekolah sama.

“Murid Tahun Satu itu mendakwa dipanggil oleh dua lelaki yang tidak dikenali menaiki kereta jenis Perodua MyVi berwarna kelabu nombor pendaftaran tidak diketahui.

“Murid tersebut juga tidak menghiraukan dua lelaki tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, polis melakukan rondaan dan pemantauan serta menasihatkan ibu bapa atau penjaga mengambil anak masing-masing tepat pada waktu.

“Murid-murid juga dinasihatkan supaya tidak bermain di luar kawasan sekolah serta menjaga keselamatan diri.

“Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan jika ada maklumat boleh salurkan maklumat kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Gua Musang, Asisten Superintendan Hamdan Ali Hassan di talian 01155518768 atau e-mel hamdan_ah@rmp.gov.my.