Petrosaudi: Pendengaran permohonan kerajaan ditangguh 23 November

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Khamis menangguhkan sehingga 23 November ini pendengaran permohonan kerajaan bagi menghalang Petrosaudi International Ltd (PSI), anak syarikatnya Petrosaudi Oil Services (Venezuela) Limited (PSOS-VZ) dan warga Arab Saudi Tarek Obaid daripada menggunakan AS$340 juta dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di United Kingdom.

Hakim, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun memaklumkan mahkamah bahawa mereka kini menunggu arahan lanjut sama ada perlu meminda saman pemula untuk mengelakkan kekeliruan berhubung dana yang didakwa disimpan di dalam akaun eskrow yang diuruskan oleh Clyde & Co LLP (firma guaman di UK).

Norinna mencadangkan, penangguhan itu selepas Ahmad Shahrir berkata, peruntukan yang melibatkan permohonan bagi menghalang pergerakan wang terbabit adalah terlalu kabur.

Terdahulu, hakim itu berkata, permohonan pendakwaan berhubung perintah menghalang tidak menyatakan sama ada ia terjumlah di bawah Seksyen 53(1)(a) atau Seksyen 53(1)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 berkaitan larangan berurusan dengan harta di luar Malaysia.

Seksyen 53(1)(a) adalah berkaitan dengan isu di mana harta itu adalah perkara atau hal yang berkaitan perlakuan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) atau kesalahan pembiayaan keganasan Seksyen 53(1)(c) menyebut mengenai keadaan di mana harta itu adalah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Peguam, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang mewakili Obaid, tidak membantah permohonan itu dan menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskannya.

Pada 16 Julai 2020, mahkamah membenarkan permohonan kerajaan untuk mendapatkan perintah sementara bagi menghalang pihak terbabit daripada mengalihkan wang yang dikaitkan dengan 1MDB dan menyimpannya di dalam akaun pelanggan, Temple Fiduciary Services Limited, di Clyde & Co.

Perintah itu adalah bagi mengekalkan status quo pihak terbabit sehingga pelupusan permohonan kerajaan bagi mendapatkan perintah menghalang sebarang urusan membabitkan wang milik PSI dan anak syarikatnya PSOS-VZ yang kini berada dalam akaun eskrow yang dipegang oleh Clyde & Co.

Artikel Berkaitan:

Permohonan itu, yang difailkan di bawah Seksyen Section 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, menamakan Obaid, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co dan Temple Fiduciary sebagai responden. - Bernama