Hukuman ke atas pemimpin kanan Khmer Rouge kekal

Khieu Samphan mengemukakan rayuan pada Ogos 2021. - Foto Agensi
Khieu Samphan mengemukakan rayuan pada Ogos 2021. - Foto Agensi
A
A
A

PHNOM PENH - Tribunal menyiasat jenayah perang di Kemboja pada Khamis mengekalkan sabitan dan hukuman penjara seumur hidup ke atas pemimpin kanan rejim Khmer Rouge yang masih hidup, Khieu Samphan, 91.

"Mahkamah Agung menolak rayuan Samphan selepas mendapati tiada merit dalam hujah dikemukakan tertuduh," kata Hakim Kong Srim merujuk kepada siri pertuduhan jenayah kemanusiaan termasuk pembunuhan, penganiayaan dan perhambaan yang difailkan ke atasnya pada 2018.

Ia adalah keputusan terakhir dibuat tribunal tersebut setelah siri perbicaraan terhadap rejim Khmer Rouge menelan kos lebih AS$330 juta (RM1.5 bilion) dan hanya lima pemimpin didakwa manakala dua daripadanya meninggal dunia ketika prosiding masih berjalan.

Difahamkan, pemerintah tertinggi Khmer Rouge, Pol Pot tidak pernah diheret ke muka pengadilan setelah meninggal dunia pada 1998, sebelum tribunal itu ditubuhkan.

Penubuhan mahkamah hibrid terdiri daripada panel hakim tempatan dan antarabangsa itu bertujuan untuk mengadili pemimpin kanan rejim zalim yang mengakibatkan penderitaan melampau terhadap kira-kira dua juta penduduk ketika di bawah pemerintahan mereka pada 1975-79.

Kira-kira 500 individu termasuk mangsa terselamat, sami Buddha, diplomat dan pegawai kerajaan turut berada dalam kamar mahkamah untuk mendengar keputusan akhir tersebut.

"Akhirnya, keadilan dapat ditegakkan untuk kesemua mangsa yang dizalimi. Rejim Pol Pot sangat kejam," kata salah seorang mangsa terselamat, You Soeun, 67.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Bin Chhin menyifatkan keputusan tribunal itu yang diiktiraf peringkat antarabangsa boleh menjadi model kepada negara lain yang mahu mendakwa kes selepas perang atau melibatkan konflik dalaman. - AFP

Artikel Berkaitan: