Kematian akibat banjir di Sudan meningkat kepada 146

Sebanyak 54,758 kediaman turut musnah manakala 74,444 lagi rosak, sementara 367 utiliti awam serta kedai dan gudang rosak. Foto AFP
Sebanyak 54,758 kediaman turut musnah manakala 74,444 lagi rosak, sementara 367 utiliti awam serta kedai dan gudang rosak. Foto AFP
A
A
A

KHARTOU - Jumlah kematian akibat hujan lebat serta banjir di Sudan meningkat kepada 146, lapor Majlis Negara bagi Pertahanan Awam, pada Rabu.

"Hingga 21 September, hujan lebat dan banjir menyebabkan 146 orang terkorban manakala 122 lagi cedera,” menurut majlis itu dalam kenyataan yang dipetik Xinhua.

"Sebanyak 54,758 kediaman turut musnah manakala 74,444 lagi rosak, sementara 367 utiliti awam serta kedai dan gudang rosak," katanya.

Hujan lebat juga menjejaskan kira-kira 101,193 hektar tanah pertanian dan mengorbankan 2,741 ekor lembu.

Lebih 250 kampung di utara, tengah dan barat Sudan juga terjejas akibat hujan lebat sejak lewat Jun.

Pada 21 Ogos, Majlis Menteri-menteri Sudan mengisytiharkan darurat di enam negeri yang ditenggelami air, River Nile, Gezira, White Nile, Kordofan Barat, Darfur Barat dan Kassala.

Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusian, seramai kira-kira 136,000 orang terjejas akibat banjir dan hujan lebat di seluruh Sudan sejak Jun.

Sudan kerap dilanda banjir akibat hujan lebat dari Jun hingga Oktober. - Bernama