Rasuah polis RM100, petani didenda RM3,000

Tertuduh didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah merasuah polis, April lalu.
Tertuduh didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah merasuah polis, April lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang petani didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas tuduhan memberi suapan RM100 kepada anggota polis, April lalu.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menjatuhkan hukuman itu ke atas Fooh Poh Yaw, 37, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Kantonis.

Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman sebulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu secara rasuah menawarkan suatu suapan iaitu wang tunai RM100 kepada Sarjan Roslan Khan Md Sharif di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Jalan Chamberlein Hulu pada jam lebih kurang 1 pagi pada 29 April 2022.

Suapan itu sebagai dorongan kepada anggota polis berkenaan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas tertuduh yang telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 45 C (6) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Di bawah kesalahan itu, tertuduh tanpa alasan yang munasabah telah gagal mengadakan spesimen apabila dikehendaki berbuat demikian.

Pertuduhan yang dilakukan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah berjumlah RM100 bagi kes ini dilucuthak kepada kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 40(1)(a) Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan: