MOF fokus pembaharuan struktur, bina daya tahan ekonomi

MOF akan terus memberi penekanan terhadap pembaharuan struktur penting bagi membina daya tahan ekonomi negara. - Gambar hiasan
MOF akan terus memberi penekanan terhadap pembaharuan struktur penting bagi membina daya tahan ekonomi negara. - Gambar hiasan
A
A
A

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) akan terus memberi penekanan terhadap pembaharuan struktur penting bagi membina daya tahan ekonomi negara di masa depan selain membendung inflasi dan menangani ketidaktentuan persekitaran global semasa.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sejajar kedudukan Malaysia sebagai ekonomi terbuka dengan jumlah perdagangan lebih 120 peratus daripada keluaran dalam negara kasar negara (KDNK), kerajaan akan terus proaktif bagi mempersiap negara menghadapi cabaran-cabaran tersebut.

"Sejak pandemik bermula, kerajaan khususnya kementerian ini sedar betapa pentingnya pembaharuan struktur bagi memastikan pembangunan lestari.

"Kita juga telah memulakan inisiatif seperti penambahbaikan jaringan keselamatan sosial, menangani isu pengangguran dalam kalangan belia dan pelaksanaan upah minimum,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu

Tengku Zafrul bagaimanapun menegaskan, isu-isu struktur sejak berdekad lamanya ini memerlukan masa untuk ditangani dan bukannya dalam sekelip mata.

Kadar perbelanjaan tinggi bagi melindungi nyawa dan kesihatan awam serta sokongan perniagaan ketika pandemik, memerlukan kerajaan mengukuhkan kedudukan fiskal bagi mengatasi isu-isu struktur berkenaan.

Menurutnya, ekonomi negara pada suku keempat 2022 dan 2023 juga dijangka lebih mencabar akibat prospek ekonomi global yang lembap berikutan ketegangan geopolitik Amerika Syarikat-China dan peperangan di Ukraine yang berterusan serta dasar sifar Covid-19 di China yang menjejaskan rantaian bekalan dunia.

Malah, katanya, akibat dasar konservatif tersebut, Bank Pembangunan Asia (ADB) telah bertindak menurunkan unjuran KDNK China kepada 3.3 peratus bagi 2022 -- kadar terendah berbanding negara membangun Asia lain yang juga kali pertama sejak 30 tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Faktor perubahan iklim juga dijangka mengganggu produktiviti pengeluar makanan utama seperti India yang turut meyumbang kepada peningkatan harga komoditi dan makanan.

"Ini akan terus memberi tekanan ke atas kadar inflasi dan sekuriti makanan di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Sehubungan itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga telah menyemak semula unjuran pertumbuhan global bagi tahun 2023 daripada 3.8 peratus pada Januari 2022 kepada 2.9 peratus.

"IMF turut meningkatkan kadar unjuran inflasi sebanyak 0.8 mata peratusan kepada 9.5 peratus bagi negara membangun dan 0.9 mata peratusan kepada 6.6 peratus bagi negara maju,” katanya.

Jelas Tengku Zafrul, semua faktor tersebut akan memberi impak terhadap unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2023 yang dijangka lebih rendah berbanding 2022.

Beliau juga optimis walaupun pelbagai aspek luaran amat mencabar sejak awal tahun 2022, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan berjaya membantu pemulihan ekonomi Malaysia, terutama bagi sektor seperti pelancongan, peruncitan dan penerbangan yang terjejas teruk ketika pandemik.

"Kesemua kejayaan ini turut disumbangkan oleh dasar fiskal yang mengembang melalui Bajet 2022 dan dasar monetari yang kekal akomodatif.

"Sehubungan itu, bagi 2022, KDNK Malaysia dijangka berkembang lebih baik iaitu antara 5.3-6.3 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata Bajet 2023 akan terus mengutamakan agenda pembaharuan struktur bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi pasca Covid-19, memastikan kesejahteraan dan memperkukuh daya tahan rakyat dan perniagaan terhadap sebarang kejutan di masa depan. - Bernama