Khairy nafi campur tangan rawat Najib

Khairy - Foto Bernama
Khairy - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan berlaku campur tangannya selaku Menteri Kesihatan Malaysia dalam menempatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Hospital Rehabilitasi Cheras untuk menjalani rawatan.

Menurutnya, Najib dirujuk ke hospital itu bagi menjalani fisioterapi dan pemantauan lanjut berdasarkan perkara yang diadukan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah tersebut supaya tidak timbul sebarang isu atau pertikaian daripada mana-mana pihak keluarga ataupun Najib sendiri berhubung rawatan yang diberikan.

"Najib akan dihantar pulang ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas mendapat pelepasan perubatan daripada perunding perubatan.

"Perunding perubatan kini sedang menyediakan laporan perubatan untuk dikemukakan semasa sidang keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan wujud campur tangannya dalam KKM memberi rawatan terhadap Najib.

"Tidak ada campur tangan. Tiada layanan istimewa," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan seorang doktor melanggar Etika Kerahsiaan Pesakit, Khairy berkata, Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah diarahkan untuk memulakan siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Jika didapati ada pelanggaran etika, maka tindakan disiplin boleh diambil terhadap pegawai berkenaan," katanya.

Beliau berkata, siasatan mestilah dibuat secara bebas bagi mengesahkan akaun Twitter yang dikatakan milik pegawai perubatan itu dan pegawai perubatan yang dikatakan menulis hantaran tersebut.

Doktor tersebut yang menggunakan nama Azri Aizat didakwa melemparkan kata-kata kesat di Twitter berhubung tahap kesihatan Najib sebelum ia dipadamkan selepas tular di media sosial.