Polis Kelantan keluar 1,488 saman trafik

Antara motosikal yang diperiksa dan disita oleh pihak polis. Gambar kecil: Muhamad Zaki - Foto ihsan PDRM
Antara motosikal yang diperiksa dan disita oleh pihak polis. Gambar kecil: Muhamad Zaki - Foto ihsan PDRM
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengeluarkan 1,488 saman trafik berkaitan pelbagai kesalahan bermula Jun hingga Rabu lalu menerusi Op Khas Samseng Jalanan yang dijalankan di semua daerah di Kontinjen Kelantan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, operasi itu disertai 12 pegawai dan 752 anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri.

Hasil operasi yang dijalankan sepanjang tempoh tiga bulan, 1,462 kenderaan termasuk 1,101 motosikal dan 361 kereta diperiksa.

“Daripada itu, 1,488 notis saman dikeluarkan oleh JSPT kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, selain itu, 84 motosikal turut disita di bawah Seksyen 60 akta sama sepanjang tempoh sama ketika operasi berkenaan dijalankan.

“50 tangkapan dilakukan termasuk 25 daripadanya adalah pelajar sekolah dan mereka ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, pihaknya memandang serius kegiatan merempit terutama dalam kalangan remaja.

“Saya nasihatkan ibu bapa supaya pantau anak-anak kerana kadar hukuman tinggi tinggi jika sabit kesalahan merempit iaitu boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda minimum RM5,000 sehingga RM15,000.

Artikel Berkaitan:

“Sabitan kedua atau lebih, penjara maksimum 10 tahun dan denda minimum RM10,000 sehingga RM20,000,” katanya.