ADB turunkan unjuran pertumbuhan Asia kepada 4.3 peratus

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A
BANK Pembangunan Asia (ADB) menurunkan unjurannya ke atas pertumbuhan ekonomi di Asia dan Pasifik kepada 4.3 peratus tahun ini, di tengah-tengah cabaran yang semakin meningkat di rantau itu, menurut laporan pada Rabu.

Unjuran Pembangunan Asia 2022 yang dikemas kini, menunjukkan ekonomi rantau itu berkembang 4.9 peratus pada 2023, berbanding unjuran pengembangan sebanyak 5.3 peratus yang dibuatnya pada April lepas, lapor Xinhua.

Laporan itu menyebut perbelanjaan dan pelaburan pengguna domestik kini memacu pertumbuhan selari dengan pemulihan ekonomi di rantau ini daripada pandemik, sebahagiannya disumbangkan oleh vaksinasi dan penurunan kematian akibat Covid-19.

Bagaimanapun, ia menambah konflik Rusia-Ukraine yang berterusan, meningkatkan ketidaktentuan global, gangguan bekalan yang semakin buruk, serta pasaran tenaga dan makanan yang belum selesai.

Pengetatan monetari yang lebih agresif oleh Rizab Persekutuan AS dan Bank Pusat Eropah menjejaskan permintaan global dan menjejaskan pasaran kewangan.
Artikel Berkaitan:


"Negara membangun di Asia terus pulih, namun risiko semakin meluas," kata Ketua Ekonomi ADB, Albert Park yang menggesa kerajaan negara membangun di Asia untuk terus berwaspada terhadap risiko ini dan mengambil langkah perlu untuk membendung inflasi tanpa menjejaskan pertumbuhan.

ADB juga menaikkan unjuran inflasi ke atas negara membangun di Asia tahun ini kepada 4.5 peratus daripada unjuran sebelumnya sebanyak 3.7 peratus. Unjuran untuk tahun depan adalah 4.0 peratus, meningkat daripada 3.1 peratus. - Bernama