Ambil iktibar bencana banjir Disember 2021

Banjir besar yang melanda Semenanjung Malaysia pada Disember 2021 mengakibatkan kerugian RM6.1 bilion.
Banjir besar yang melanda Semenanjung Malaysia pada Disember 2021 mengakibatkan kerugian RM6.1 bilion.
A
A
A

JIKA dahulu, bencana banjir boleh dijangka dan lazimnya berlaku pada penghujung tahun, namun kini ia boleh berlaku pada bila-bila masa susulan perubahan iklim yang ketara.

Banjir besar pada Disember 2021 adalah bencana dahsyat yang melanda Semenanjung Malaysia hingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM6.1 bilion (Laporan Khas Impak Banjir Malaysia 2021, Jabatan Perangkaan Malaysia).

Negeri-negeri paling terkesan ialah Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Baru-baru ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mendedahkan La Nina masih berlaku – kebarangkalian 91 peratus sehingga November 2022 dengan taburan hujan tertumpu di pedalaman dan Pantai Timur Semenanjung, utara serta pedalaman Sarawak dan timur Sabah.

Justeru, orang ramai dinasihatkan peka dengan perubahan cuaca, mendapatkan maklumat dan amaran cuaca mutakhir melalui radio, televisyen serta laman sosial rasmi.

Sana sini persediaan menghadapi bencana mula dibincangkan. Ia menunjukkan wujudnya kesedaran individu dan institusi agar lebih berwaspada. Banjir kini bukan seperti dulu-dulu!

Pelbagai agensi mengambil langkah proaktif termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bersiap siaga dengan menambah anggota operasi untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menaik taraf lebih 300 daripada 500 siren amaran banjir di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi banjir.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai juga dilihat mempersiapkan diri dan keluarga masing-masing. Penulis mendapati pelbagai perkongsian daripada warga maya mengingatkan tentang persiapan awal menghadapi banjir tular di laman sosial, antaranya mengatur barangan keperluan kecemasan di dalam ‘beg bencana’.

Barangan keperluan yang perlu diisi ke dalam ‘beg bencana’, antaranya ialah wisel, lampu suluh, ubat-ubatan, radio berkuasa bateri, pakaian dan peralatan mandi, air minuman bersih, makanan dalam tin, wang tunai, bateri tambahan serta dokumen penting.

Pelan strategi juga harus diwujudkan bagi setiap keluarga agar situasi banjir dapat diawasi.

Baru-baru ini, penulis sendiri telah menyisihkan barangan berharga dan dokumen penting sebagai persediaan. Perancangan menyelamatkan perabot dan perkakas elektrik ke tempat tinggi juga sudah disusun agar risiko kemusnahan dapat dikurangkan.

Ahli keluarga perlu dimaklumkan tentang tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku bencana banjir. Selamatkan diri ke tempat tinggi, jauh dari sungai dan longkang boleh mengelakkan kemalangan serta kehilangan nyawa.

Akur kepada arahan pihak berkuasa jika diminta berpindah dan tinggalkan kediaman secepat mungkin sebelum situasi bertukar menjadi lebih buruk.

Selain itu, kerosakan kenderaan akibat ditenggelami air adalah salah satu implikasi yang menghantui mangsa banjir.

Tiga buah negeri mencatatkan kerugian tertinggi kerosakan kenderaan ketika banjir besar 2021 iaitu Selangor sebanyak RM855 juta, Pahang (RM78.2 juta) dan Negeri Sembilan (RM18.3 juta).

Kos pembaikan tidak murah, justeru dapatkan perlindungan tambahan yang boleh menanggung kos baik pulih kenderaan tenggelam iaitu special perils sebelum terlewat.

Tidak hanya persediaan kebendaan, mental juga perlu dipersiapkan. Sedar atau tidak, ada dalam kalangan mangsa banjir besar pada Disember 2021 mengalami gangguan pasca trauma atau Past Traumatic Stress Disorder (PTSD).

Semasa hujan atau guruh, mangsa mula resah dan panik. Tidak kurang yang mengalami kemurungan selepas kehilangan harta benda dan punca pendapatan.

Oleh itu, bagi individu yang mengalami situasi mental seperti disebutkan itu, segeralah dapatkan rawatan dan cara-cara untuk mengendalikan situasi agar emosi terkawal.

Pihak berwajib atau pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu melaksanakan pembersihan sistem perparitan agar sampah-sarap tidak menjadi penyebab banjir kilat dan banjir termenung.

Akhir kata, eloklah kita mengambil contoh dari Jepun dan Australia dalam persiapan menghadapi bencana. Belajar dan ambil iktibar daripada kejadian sebelumnya.

Selagi ada masa, teruslah bersedia agar impaknya dapat dikurangkan ke tahap paling minimum.

* Azma Mohd Lazim ialah wartawan portal SinarPlus