Bajet 2023: Teruskan LJK tingkat kualiti hidup penduduk luar bandar

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun (tengah) menerima dokumen daripada Pengarah Projek LJK10 merangkap Pengurus Besar (Projek Utama) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Abdul Razak Salleh (kiri) sempena majlis penyerahan Lampu Jalan Kampung (LJK) dan Janakuasa Diesel Kampung Litang dan Kampung Balat Kinabatangan, pada Selasa. - Foto Bernama
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun (tengah) menerima dokumen daripada Pengarah Projek LJK10 merangkap Pengurus Besar (Projek Utama) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Abdul Razak Salleh (kiri) sempena majlis penyerahan Lampu Jalan Kampung (LJK) dan Janakuasa Diesel Kampung Litang dan Kampung Balat Kinabatangan, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) wajar diteruskan menerusi Bajet 2023 bagi meningkatkan kualiti kehidupan penduduk di kawasan luar bandar, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun.

Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat itu KPLB telah memohon peruntukan sebanyak RM50 juta menerusi Bajet 2023 bagi memasang lebih 19,000 unit lampu untuk penduduk kawasan luar bandar di seluruh negara.

"Tahun ini tiada peruntukkan disediakan (untuk program LJK) dan kita telah mohon dalam Bajet 2023 bagi teruskan program ini, jika diluluskan kita teruskan projek ini seluruh negara untuk rakyat bermula tahun depan dan (lebih 19,000 unit lampu) diagihkan mengikut keperluan negeri.

Jika lihat skala individu projek LJK ini nampak kecil tetapi memberi kesan besar kepada penduduk luar bandar kerana ia dapat menerangkan kampung terutama kawasan yang menjadi tumpuan selain penduduk kampung boleh jalankan aktiviti dengan lebih selamat,” katanya dalam sidang media di sini, pada Selasa.

Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penyerahan Program LJK Tahun 2019/2022 Fasa 10 dan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Janakuasa Diesel Secara Berpusat Penyusunan Semula Kampung (PSK) Kampung Litang dan Kampung Balat.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd, Mohd Yaakob Jaafar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi.

Ramlan berkata, untuk Sabah dan Labuan, sebanyak 49,856 lampu jalan kampung telah dipasang di kawasan luar bandar melibatkan 45,051 unit lampu jenis "High Pressure Sodium Vapor” (HPSV) dan 4,805 unit lampu diod pemancar cahaya (LED).

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 4,000 unit lampu HPSV dan 1,000 unit lampu jenis LED dipasang menerusi Program LJK Tahun 2019/2022 Fasa 10 bermula 7 Januari 2020 hingga 8 Disember 2021 melibatkan kos RM5.96 juta dengan tempoh tanggungan kecacatan sehingga 9 Disember 2023.

Artikel Berkaitan:

Katanya, RM 2.3 juta pula telah diperuntukkan melalui Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) bagi pembaikan Stesen Janakuasa Diesel PSK Kampung Balat dan Kampung Litang di yang terletak dalam Daerah Kinabatangan.

"RM 8.26 juta (peruntukan) bagi tujuan lampu jalan kampung dan bekalan elektrik luar bandar yang dilaksanakan itu sekali gus dapat memberi manfaat kepada 1.24 juta orang penduduk,” katanya. - Bernama