Pengerusi PEDi mata dan telinga capaian liputan internet

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TEMERLOH - Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang dilantik boleh menjadi 'mata dan telinga' mengenai capaian liputan internet di kawasan sekitar masing-masing dalam usaha meningkatkan perkhidmatan itu kepada penduduk setempat.

Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi berkata, Pengerusi PEDi boleh berbuat demikian dengan menyalurkan aduan menerusi laman sesawang kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Mereka (Pengerusi PEDi) boleh jadi mata dan telinga melibatkan liputan internet, jadi kalau ada tempat liputannya tidak begitu baik boleh mengadu kepada agensi (SKMM) menerusi laman sesawang," katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui selepas mewakili Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa ke Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi PEDi dan Taklimat Telekomunikasi Bersama Pengguna di Dewan Tun Razak di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah SKMM Pahang, Mohd Faisal Md Nor dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin.

Mengulas mengenai lantikan 111 Pengerusi PEDi di Pahang, Budiman berkata, mereka memainkan peranan dalam membantu kepimpinan PEDi untuk merangka program yang memberi manfaat terutamanya melibatkan ekonomi digital.

"Mereka diharap dapat membantu PEDi rangka program mengikut keseluruhan peringkat umur iaitu dari peringkat kanak-kanak, remaja, dewasa dan veteran kerana pada saya soal pendigitalan ekonomi ini mesti meliputi semua peringkat umur," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan tiga PEDi bakal beroperasi di Pahang pada tahun depan iaitu satu di Teruntum, Kuantan dan selebihnya di Rompin, menjadikan jumlah pusat ekonomi digital di negeri ini sebanyak 114 pada 2023.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu, wakil syarikat telekomunikasi turut memberikan penerangan mengenai keselamatan dan pelindungan maklumat pengguna kepada pengerusi PEDi yang hadir. - Bernama