'Majoriti rakyat marahkan kerajaan' - Syed Saddiq

Hantaran Syed Saddiq di Facebook beliau pada Selasa.
Hantaran Syed Saddiq di Facebook beliau pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan majoriti rakyat marahkan kerajaan ketika bencana banjir buruk berlaku di Malaysia hujung tahun lalu dan awal tahun ini.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, rakyat rata-ratanya marah dengan bantuan yang lambat tiba dan koordinasi menyelamat oleh pihak berkuasa waktu itu yang tidak selari.

Justeru, katanya, kerajaan tidak perlu bertanya kepada rakyat sama ada mereka marah atau tidak sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuat semasa musim banjir.

"Tak perlu tanya rakyat. Lihat sendiri banjir lepas. Bila bantuan sampai lambat, bila menteri senang-lenang adakan majlis potong kek.

"Ada rakyat yang terperangkap dalam rumah untuk beberapa hari. Ada yang kena selamatkan diri duduk atas bumbung. Ada juga yang maut bila nak cuba selamatkan diri," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Syed Saddiq menjelaskan, dalam keadaan genting itu, nyawa rakyat ibarat berada di hujung tanduk dan hanya mampu menunggu untuk diselamatkan.

Berikutan itu, beliau meminta, kerajaan menggunakan akal yang waras atau 'common sense' dalam menentukan tarikh PRU15.

"Utamakan rakyat bila susah. Bila dalam krisis, kita fokus untuk bantu rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Bukan tak boleh nak adakan PRU tahun depan lepas semua dah reda. Rakyat tak sanggup nak hilang orang tersayang dan harta benda lagi," tulisnya yang mengakhiri catatan dengan tanda pagar #NyawaDuluBaruPRU.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin dilaporkan tidak memberi jawapan apabila ditanya jika tiada masalah untuk melaksanakan PRU15 pada akhir tahun ini, iaitu ketika musim tengkujuh yang menyebabkan banyak kawasan di Malaysia dilanda banjir.

Namun, ketika diminta mengulas lebih lanjut sama ada PRU15 ketika musim tengkujuh akan memberi manfaat kepada BN atau mencetuskan kemarahan pengundi, beliau mencadangkan agar media bertanya kepada orang ramai untuk melihat sentimen mereka.

"Itu soalan yang bagus. Media boleh wawancara rakyat (sama ada mereka menerima atau marah terhadap BN jika PRU15 dilaksanakan ketika musim tengkujuh)," katanya.

Dalam musibah banjir buruk yang lalu, banyak kawasan di beberapa negeri ditenggelami air termasuk di Shah Alam dan mengakibatkan negara mengalami kerugian berjumlah RM6.1 bilion.