Pulangkan 'kegagalan' kepada Muhyiddin

Muhamad Akmal (dua dari kiri) selepas menyempurnakan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2022 Peringkat Negeri di Auditorium MITC Ayer Keroh di sini, pada Selasa.
Muhamad Akmal (dua dari kiri) selepas menyempurnakan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2022 Peringkat Negeri di Auditorium MITC Ayer Keroh di sini, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Pemuda UMNO Melaka menempelak kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gagal menguruskan ekonomi dan negara.

Naib Ketua Pemudanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, seharusnya individu itu menilai dan meneliti terlebih dahulu kenyataan tersebut lebih-lebih lagi mereka di dalam satu pasukan sama.

Menurutnya, perkataan kegagalan itu sepatutnya dipulangkan kepada Muhyiddin yang memegang jawatan sebagai menteri ekonomi selain menteri-menteri kanan yang dipilih daripada parti beliau sendiri.

"Kalau membelasah satu pasukan gagal, maka semuanya gagal, bila Tan Sri kata PM gagal sepatutnya kegagalan itu dipulangkan kepada Tan Sri juga.

"Saya nasihatkan pada saat-saat hujung ini janganlah berpolitik yang melampau, rakyat dah boleh menilai," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin selepas menyempurnakan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2022 Peringkat Negeri di Auditorium MITC Ayer Keroh di sini, pada Selasa.

Muhamad Akmal menyampaikan pensijilan Bersih, Selamat dan Sihat kepada seorang penerima.
Muhamad Akmal menyampaikan pensijilan Bersih, Selamat dan Sihat kepada seorang penerima.

Muhamad Akmal yang juga Exco Kesihatan dan Anti Dadah berkata, 'kegagalan' yang dilakukan Perdana Menteri adalah tidak melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terlalu banyak berbanding Muhyiddin sehinggakan pembangunan ekonomi terencat pada ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, Ismail Sabri telah menunjukkan ekonomi di tahap yang baik dan ekonomi negara semakin meningkat meskipun ketika dunia sedang mengalami kegawatan ekonomi teruk.

Ujar beliau, paling penting dalam sektor kesihatan juga Perdana Menteri telah menunjukkan komitmen dan menjadikan Malaysia bebas daripada pandemik dan beralih kepada fasa endemik.

"PM telah melakukan tugas sangat baik dan amanah sangat bagus, ini menunjukkan satu perubahan yang positif kepada rakyat berbanding Tan Sri (Muhyiddin) dulu," kata beliau lagi.

Media pada Isnin melaporkan Muhyiddin menerusi hantaran Facebooknya berpendapat sekiranya Ismail Sabri terus gagal menguruskan ekonomi dan negara, sebaiknya pilihan raya diadakan.

Beliau berkata, ia bagi memastikan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat.