[VIDEO] Tiada laporan kes culik kanak-kanak di Genting Highlands

PDRM
PDRM
A
A
A

BENTONG - Polis mengesahkan tiada sebarang laporan dibuat berhubung kes penculikan kanak-kanak yang didakwa berlaku di Genting Highlands seperti tular di media sosial sejak Isnin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya hanya menerima laporan berhubung sebuah video berdurasi satu minit 20 saat yang dilaporkan oleh pihak keselamatan Genting Highlands semalam.

Menurut beliau, video tersebut memaparkan insiden bahawa seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa culik oleh seorang perempuan warganegara asing di Genting Highlands, Bentong.

Pihak keselamatan Genting Highlands telah membuat laporan polis pada 19 September 2022 lebih kurang jam 8.16 malam berhubung video yang telah tular.

“Polis juga mengesahkan bahawa setakat ini tidak menerima sebarang laporan polis daripada pihak yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Zaiham Mohd Kahar
Zaiham Mohd Kahar

Terdahulu, sebuah rakaman video berdurasi 1 minit 20 saat melalui platform TikTok milik @alfitry_azmi52 yang dimuat naik di Facebook 'Daily Traffic Report' memaklumkan bahawa seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa culik seorang perempuan warga asing di tempat peranginan tersebut.

Tambah Zaiham, bagaimanapun pihaknya akan menjalankan siasatan dan akan menghubungi pemilik akaun TikTok berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita memohon kerjasama kepada semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut," katanya.