Ambil iktibar daripada pentadbiran PH

Muhammad Fauzi
Muhammad Fauzi
A
A
A

GEORGETOWN - Pas Pulau Pinang menyeru rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Islam agar membuka mata untuk melihat wajah sebenar dalang yang berselindung di sebalik 'topeng' Pakatan Harapan (PH).

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, seharusnya masyarakat di negara ini mengambil iktibar tempoh 22 bulan pemerintahan PH sebelum ini yang menyaksikan negara berada dalam pelbagai polemik serta permasalahan.

Menurutnya, antara isu berlaku termasuk permasalahan perkauman, perlembagaan negara, agama Islam serta institusi raja.

"Rakyat Malaysia perlu matang dan bijak membuat keputusan untuk menolak PH pada PRU15 ini serta tidak mudah terpengaruh dengan slogan-slogan baharu dan janji manis mereka.

"Pulau Pinang adalah nadi utama DAP-PH dilihat menjadi ‘tikus makmal’ kepada pembangunan tidak seimbang yang sedang mereka terajui masa ini.

"Bahkan pelbagai isu berkaitan projek memberi impak negatif kepada rakyat Pulau Pinang, misalnya Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR)," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Muhammad Fauzi berkata, gagasan penyatuan ummah di Pulau Pinang bakal mengorak langkah membawa perubahan setelah hampir tiga dekad diterajui oleh DAP dan PH.

Katanya, tiada yang mustahil jika rakyat Pulau Pinang bersatu hati menyahut seruan penyatuan ummah demi kesejahteraan negeri tercinta.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas menolak menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi mengelakkan 'mudarat politik' lebih besar walaupun parti itu dijemput menyertai PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hadi berkata, penolakan itu kerana Pas mempunyai pengalaman paling lama dalam bertahaluf dengan beberapa parti yang ada bersamanya.