Dua lori tangki agih bekalan air bersih

Andansura (kanan) mengagihkan air mineral kepada penduduk berdepan dengan gangguan bekalan air di kawasan DUN Beserah pada Isnin.
Andansura (kanan) mengagihkan air mineral kepada penduduk berdepan dengan gangguan bekalan air di kawasan DUN Beserah pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Dua lori tangki akan digerakkan bagi membantu Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) untuk mengagihkan bekalan air bersih ke kawasan-kawasan yang terjejas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, bantuan itu diberikan selepas mendapat kelulusan selepas Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Buat masa ini kita sedang menunggu kelulusan SPAN untuk membenarkan bekalan air bersih dari Kemaman di bawa masuk ke negeri ini.

"Kita jangka perkara ini akan diselesaikan pada hari ini dan pada petang esok kita boleh memulakan kerja untuk membantu pihak Paip dalam menguruskan bekalan air," katanya ketika ditemui di Kampung Batu Hitam di sini pada Selasa.

Beliau menjelaskan dua lori tangki ini bergerak sepanjang dua hari ketiadaan air bermula dari sempadan Kemaman sehingga ke Beserah.

"Kita akan pastikan bekalan air bersih di dalam tangki statik yang kosong dan menyalurkan air dari rumah ke rumah di kawasan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah.

"Bantuan lori tangki ini dibuat kerana kita memahami kekangan yang dihadapi pihak Paip dalam menguruskan bekalan air di beberapa kawasan di sekitar Kuantan," ujar beliau yang turut menyumbangkan lebih 400 karton air mineral kepada penduduk di kawasan terjejas.

Pada Jumaat lalu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saiful Zaini Mohd Bokhari dalam satu kenyataan memaklumkan gangguan bekalan air dijangka berlaku dalam tempoh dua hari bermula jam 8 pagi pada 20 September bagi menyiapkan kerja-kerja penyambungan paip air mentah secara pintasan di Mahkota Golf & Country Club (MGCC).

Artikel Berkaitan: