Bapa durjana mengaku rogol dua anak kandung

Lelaki berusia 56 tahun (dua,kanan) mengaku bersalah atas 28 pertuduhan merogol anak kandung di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin.
Lelaki berusia 56 tahun (dua,kanan) mengaku bersalah atas 28 pertuduhan merogol anak kandung di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki yang menjadikan dua anak kandungnya tempat melepaskan nafsu, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas 28 pertuduhan termasuk merogol, melakukan seks luar tabii dan amang seksual terhadap mangsa berusia 15 dan 19 tahun.

Lelaki berusia 56 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa merogol kedua-dua anak kandung sejak mangsa berusia 12 tahun.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa dengan enam pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap salah seorang mangsa dan kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Selain itu, dia turut didakwa lima pertuduhan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat.

Dia turut mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama, yang mana bagi kesalahan itu tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh (dua,kiri) ketika di bawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin.
Tertuduh (dua,kiri) ketika di bawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Sementara Seksyen 16 pula memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah antara 24 September 2015 hingga 5 September 2022.

Dalam prosiding berasingan, tertuduh turut mengaku bersalah di Mahkamah Majistret kerana melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan terhadap isterinya dengan menyatakan mahu membunuh mangsa dan anak-anak.

Bagi kesalahan itu dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Namun kedua-dua hakim menangguhkan keputusan pada Selasa untuk fakta dan hukuman terhadap tertuduh selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari dan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob dalam pendakwaan berasingan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi semua pertuduhan sementara menunggu keputusan hukuman.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu kepada mahkamah dia tidak mempunyai wang untuk membayar jaminan selain menghidap sakit kronik termasuk darah tinggi.