Harga emas dijangka pulih

Gambar hiasan 123RF.
Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

HARGA emas dijangka pulih dan akan mencecah paras AS$1,800 (AS$1=RM4.53) seauns pada hujung tahun daripada AS$1,670 seauns pada masa ini disebabkan persekitaran pasaran yang lebih stabil.

"Ia akan mencecah AS$1,800 seauns menjelang akhir tahun ini. (Selain itu), harga emas akan bergantung pada persekitaran tahun depan tetapi ia tidak akan tiba-tiba melonjak ke paras AS$2,000 seauns,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Singapore Bullion Market Association Albert Cheng.

Menurut Albert Cheng, kenaikan kadar faedah semasa yang meningkat, pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) serta ketidaktentuan dalam perdagangan dan pasaran ekuiti telah mempengaruhi harga emas.

Beliau berkata, terdapat orang yang beralih kepada emas pada masa ketidaktentuan, kenaikan inflasi dan pasaran kewangan yang tidak stabil, tetapi ia memiliki ciri-ciri aset kecairan yang tinggi berbanding aset kelas lain dan aktiviti memburu harga emas yang lebih murah menyebabkan harganya jatuh.

"Kadar faedah yang tinggi dijangka berterusan untuk sementara waktu dan dolar AS akan terus kukuh kerana ia disifatkan sebagai mata wang yang selamat, dan sebab itu orang ramai akan beralih kepada dolar AS apabila berlakunya ketidaktentuan dalam ekonomi.

"Jika melihat pada enam bulan akan datang, saya fikir harga emas akan kekal tetapi saya tidak fikir ia akan turun terlalu rendah,’’ kata Albert Cheng kepada pemberita selepas majlis pelancaran semula kontrak Niaga Hadapan Emas di Bursa Malaysia Derivatives pada Isnin.

Albert Cheng berkata, adalah sukar untuk meramalkan prestasi komoditi itu kerana harga emas sangat bergantung kepada geopolitik global dan sama ada kadar faedah akan stabil atau sebaliknya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat orang ramai akan terbiasa dengan persekitaran pasaran dan akan melihat semula portfolio mereka dan kembali kepada perkara asas.

Albert Cheng merupakan salah seorang ahli panel pada perbincangan panel industri yang bertajuk "Is Gold a Safe Haven in a Volatile and High-Interest Rate Environment?”, sempena dengan acara pelancaran semula kontrak Niaga Hadapan Emas. - Bernama.