Maszlee antara dilantik Naib Pengerusi PKR negeri

Maszlee - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Maszlee - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor akan mengumumkan barisan kepimpinan terbaharunya tidak lama lagi dengan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dilantik sebagai Naib Pengerusi PKR negeri.

Menurut sumber dalaman PKR Johor, senarai kepimpinan tertinggi PKR negeri berkenaan sudah diserahkan kepada Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli semasa mesyuarat PKR Johor di Batu Pahat pada Ahad.

Beliau memberitahu, selain bekas Menteri Pendidikan itu akan dinamakan sebagai Naib Pengerusi I PKR negeri, Jimmy Puah Wee Tse akan dilantik Naib Pengerusi II PKR negeri dan S Gopalakrishnan pula Naib Pengerusi III PKR negeri.

Jimmy sebelum ini merupakan bekas Timbalan Pengerusi PKR Johor manakala Gopalakrishnan pula adalah bekas Naib Pengerusi PKR Johor.

"Barisan kepimpinan baharu ini adalah bagi menguatkan PKR bahagian selatan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Mereka akan bergandingan dengan Rafizi yang dilantik pucuk pimpinan PKR sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor pada 3 Ogos lalu sebagai strategi yang menugaskan beliau menyelaras kempen PRU di negeri ini," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, ketiga-tiga Naib Pengerusi PKR negeri itu bakal dilantik mempunyai pengalaman dan amat memahami keadaan politik di Johor yang kompleks selain amat penting untuk menang banyak kerusi di negeri itu.

Selain itu ujarnya, bekas Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh yang juga Ahli Parlimen Ledang akan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MPN Johor.

Artikel Berkaitan:

Bagi jawatan lain katanya, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni akan dilantik sebagai Setiausaha PKR Johor dan Subramani Chami pula sebagai bendaharinya.

"Melengkapkan senarai itu ialah ahli berpengalaman Naim Jusri yang akan dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN) PKR Johor, Hasni Abas sebagai setiausaha pengurusannya dan Khairuddin A Rahim sebagai ketua penerangan," katanya.

Sumber itu juga berkata, kesemua pelantikan tersebut juga merupakan ketua cabang PKR di kawasan masing-masing dengan beberapa daripadanya adalah bekas wakil rakyat dan ada yang masih berkhidmat.

"Barisan baharu PKR Johor memberi penekanan kepada pemimpin yang mempunyai motivasi kuat dalam agenda reformasi serta aktivis," katanya.

Rafizi semasa berucap dalam Jelajah Trak Ayuh Malaysia Zon Selatan di Johor Bahru pada Sabtu berkata, negeri itu menjadi tumpuan setiap kali PRU kerana mempunyai 26 kerusi Parlimen dan dianggap amat penting terutama dalam usaha untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Menurut Rafizi, Johor menjadi penentu Pakatan Harapan (PH), BN atau Perikatan Nasional (PN) untuk menang PRU15 kerana kekuatan politiknya mempunyai kerusi Parlimen paling banyak di semenanjung.