Kilang kitar semula musnah dalam kebakaran

Pasukan bomba memadam api yang sedang marak dalam kebakaran sebuah kilang memproses bahan kitar semula di Permatang Tinggi, Bukit Mertajam.
Pasukan bomba memadam api yang sedang marak dalam kebakaran sebuah kilang memproses bahan kitar semula di Permatang Tinggi, Bukit Mertajam.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sebuah kilang memproses bahan kitar semula di Permatang Tinggi di sini musnah dalam kebakaran kira-kira jam 11.45 malam, Ahad.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda, Faisyal Riza Abd Samad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.51 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

"Ketika tiba di lokasi, memang benar berlaku kebakaran di sebuah kilang pemprosesan bahan kitar semula.

"Anggaran keluasan kilang adalah 61x61 meter persegi dan anggaran peratusan kemusnahan kebakaran pula 90 peratus. Tiada mangsa yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, pasukan bomba telah membuat kerja 'size up' di lokasi kejadian.

"Kita juga mengarahkan anggota supaya memakai peralatan perlindungan diri lengkap untuk melakukan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman.

"Kerja pengawalan dan pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Bukit Mertajam, BBP Perai, BBP Sungai Bakap dan pasukan bomba sukarela berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.