Ketua Dewan Pers Indonesia meninggal dunia di Hospital Serdang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Dewan Pers Indonesia, Prof Dr Azyumardi Azra meninggal dunia di Hospital Serdang hari ini akibat sakit jantung.

Dewan Pers adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan untuk mengembangkan dan melindungi media massa di Indonesia.

Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia dalam kenyataan memberitahu, cendekiawan berusia 67 itu meninggal dunia pada 12.30 tengah hari tadi selepas dimasukkan ke hospital berkenaan pada Jumaat lepas, sebaik tiba dari Indonesia.

Menurutnya sebaik tiba dari Indonesia, Allahyarham dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut selepas mengalami sesak nafas ketika dalam penerbangan.

"Pasukan perubatan hospital memberitahu terdapat gangguan pada jantung beliau, dan memerlukan rawatan khusus di unit rawatan jantung (CCU), pihak hospital telah berusaha memberikan rawatan perubatan terhadap Allahyarham," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, keluarga Allahyarham tiba di sini semalam, dan pihak kedutaan kini turut berada di hospital untuk urusan jenazah.

Allahyarham ke ibu negara bagi memenuhi undangan sebagai salah seorang panel di sebuah program yang dijadualkan berlangsung di Bangi dekat sini semalam.

Sementara itu Penasihat Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia, Datuk Zakaria Abdul Wahab ketika dihubungi berkata, beliau bergegas ke Hospital Serdang pada Sabtu selepas menerima berita Azyumardi dimasukkan ke hospital daripada rakan-rakan wartawan Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Azyumardi merupakan bekas Rektor Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta pada 1998 hingga 2006. - Bernama