Perhilitan Terengganu terima 12 aduan berkaitan harimau

Kelibat seekor harimau belang yang ditemui oleh pengguna jalan raya di Dungun pada Jumaat lalu. Foto: Media sosial
Kelibat seekor harimau belang yang ditemui oleh pengguna jalan raya di Dungun pada Jumaat lalu. Foto: Media sosial
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menerima sebanyak 12 aduan berkaitan harimau belang sejak Januari hingga Ogos lalu.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, kebanyakan aduan berkaitan harimau belang yang diterima sepanjang tahun ini adalah melibatkan daerah Dungun dan Kemaman.

Menurutnya, kes penemuan harimau terbaharu adalah pada Jumaat lalu berhampiran laluan masuk ke Plaza Tol Dungun, Dungun oleh pengguna jalan raya.

“Perhilitan sudah menjalankan siasatan tentang penemuan ini dan berjaya menemui kesan tapak kaki harimau di kawasan berkenaan namun ia tidak berapa jelas.

“Kita percaya harimau belang ini adalah harimau yang sama dari Hutan Bukit Bauk kerana lokasinya terletak tidak jauh dari hutan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Ahad.

Sementara itu Kean Seong berkata, orang ramai perlu melaporkan sebarang penemuan berkaitan harimau kepada Perhilitan bagi membolehkan pemantauan dan tindakan sewajarnya diambil.

Beliau turut menasihati masyarakat supaya tidak turun dari kenderaan dan cuba mendekati haiwan berkenaan semata-mata untuk mengambil gambar kerana ia boleh mengundang bahaya.

“Seeloknya terus beredar dari lokasi dan segera hubungi Perhilitan.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga minta tidak menularkan penemuan harimau dalam media sosial, tindakan itu boleh membahayakan haiwan ini kerana ia mungkin diburu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.