Amalan kafir-mengkafir bukan budaya Islam: Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan segelintir pemimpin politik yang melabel parti tertentu sebagai ‘kafir’.

Tegas Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), amalan kafir-mengkafir itu bukanlah daripada tradisi dan budaya Islam.

“Bibit-bibitnya yang kini cuba diarusperdanakan kembali oleh beberapa kelompok pemimpin politik berkepentingan haruslah dihentikan segera bagi mengelak agama Islam itu dilihat bengis dan tidak sesuai berada di tengah kelompok masyarakat majmuk.

“Konflik atau perbezaan pendapat dalam pelbagai isu agama dan masyarakat tidak seharusnya berakhir dengan tindakan melabel atau pendekatan yang ekstrem.

“Sebaliknya Islam itu tertegak dengan rahmah, sikap dan hujah yang intelektual serta yang selari dengan tradisi wacana yang segar dan sihat,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.

Pada Jumaat, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan mendakwa Pas kini adalah parti kafir berikutan tindakannya bekerjasama dengan UMNO dan parti bukan Islam demi memperoleh kedudukan.

Tegas Ahli Parlimen Langkawi itu, hingga kini Pas tidak menarik balik dakwaan yang dibuatnya suatu ketika dulu, bahawa orang yang tidak bersama parti itu adalah kafir.

Artikel Berkaitan: