[VIDEO] 'Sayap' Warisan makin kembang di Semenanjung Malaysia

Shafie (tengah) menyerahkan surat pelantikan kepada Pengerusi Warisan Kedah, Fadzil Hanafi (tiga dari kanan) pada Majlis Pelancaran Parti Warisan Negeri Kedah di Kelompang, Jalan Alor Mengkudu, di Alor Setar, pada Sabtu.
Shafie (tengah) menyerahkan surat pelantikan kepada Pengerusi Warisan Kedah, Fadzil Hanafi (tiga dari kanan) pada Majlis Pelancaran Parti Warisan Negeri Kedah di Kelompang, Jalan Alor Mengkudu, di Alor Setar, pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR – Parti Warisan (Warisan) membuktikan parti yang dilabelkan sebagai parti nyamuk itu semakin mendapat sambutan di Semenanjung Malaysia dengan penubuhan Warisan di beberapa negeri.

Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal memberitahu, ia jelas terbukti dengan penubuhan Warisan di negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Perak, Johor dan Negeri Sembilan.

Beliau memberitahu, Warisan akan terus melebarkan sayap di Semenanjung Malaysia dengan penubuhan di negeri lain selepas ini seperti Melaka.

“Insya-ALLAH, Melaka akan datang (iaitu) bulan depan... saya ingat akan dibincangkan. Sambutan cukup menggalakkan walaupun digelar parti nyamuk ataupun parti yang kecil.

“Kita dapat melihat sambutan penyertaan beberapa tokoh kepimpinan di negara ini sama ada di Perlis, Kedah, Johor sehinggalah Melaka,” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Parti Warisan Negeri Kedah di D'Kelompang, Jalan Alor Mengkudu, di sini, pada Sabtu.

Tambah beliau, penerimaan penduduk di Semenanjung Malaysia terhadap Warisan sememangnya cukup menggalakkan termasuklah daripada golongan profesional seperti pegawai bank dan doktor.

“Saya yakin bahawa tanda-tanda itu, kita boleh gambarkan bahawa penerimaan ini ada. Sebagai contohnya, di Perlis ada mantan Speaker. Ada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ada bekas Speaker,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Shafie berkata, beliau mendapati anak muda turut menunjukkan minat terhadap Warisan apabila mereka telah menyertai parti itu.

“Kita dapat melihat gambaran (sambutan) yang diberikan dengan penyertaan mereka cukup menggalakkan semalam (Jumaat) di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau menyifatkan, kehadiran ramai anak muda dalam program Warisan di Pulau Pinang berkenaan merupakan petanda cukup baik.

“Namun, saya nasihatkan pimpinan kita jangan musim jamuan sahaja ramai tetapi yang penting kepada kita, musim pilihan raya undinya banyak,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Shafie, Warisan perlu memiliki fokus jelas dan mantap sebagai kesiapsiagaan berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.