KUSKOP sasar tujuh inisiatif baharu dalam Belanjawan 2023

Noh
Noh
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan tujuh inisiatif baharu dalam Belanjawan 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober depan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, tujuh inisiatif baharu itu antaranya mendekati golongan usahawan seperti siswazah bagi membantu mereka memperluas perniagaan pada masa depan.

Menurut beliau, sesi libat urus berkaitan bajet 2023 telah dilaksanakan bersama dengan Kementerian Kewangan bagi meneliti cadangan penambahbaikan kepada inisiatif sedia ada.

"Bagaimanapun saya tidak pasti sama ada cadangan permohonan inisiatif yang dicadangkan KUSKOP ini diluluskan atau pun tidak.

"Saya sendiri perlu menunggu ucapan Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober depan," katanya pada sidang akhbar selepas Program Jelajah KUSKOP Negeri Selangor di Pekarangan Terminal Bas Kuala Selangor di sini pada Sabtu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, KUSKOP perlu membuat pendekatan baharu dalam menyalurkan bantuan kepada semua lapisan usahawan.

"Kita tahu usahawan seperti informal, mikro, kecil dan sederhana ini perlu dibantu dan berharap inisiatif ini dapat memberi peluang kepada mereka mengembangkan perniagaan masing-masing," jelasnya.

Beliau memberitahu, mengambil contoh Skim Pembiayaan Informal (SPIN) disediakan oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) memperuntukkan sebanyak RM20 juta dengan pinjaman maksimum sebanyak RM10,000 kepada usahawan tanpa sebarang faedah.

Artikel Berkaitan:

"Kita melihat SPIN ini cukup baik dan ia mungkin perlu perluaskan lagi kepada golongan usahawan lain," kata beliau.