Pemuda, Wanita Amanah berhak tuntut kerusi 'gred A'

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SEREMBAN - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) dan Angkatan Wanita Amanah (Awan) berhak menuntut kerusi 'gred A' atau kerusi boleh menang untuk mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, parti akan mempertimbangkan perkara itu dengan mengambil kira semua aspek.

"Kita tidak lagi meletakkan kerusi mana A, B dan C kerana pada PRU15 nanti kita tidak tahu trend mengundi macam mana.

"Kami yang 'senior' dalam parti ini pun kebanyakannya bertanding kali keempat atau lima baru menang," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Amanah 2022 di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Pemuda Amanah mahu pucuk pimpinan mengutamakan kerusi ‘gred A’ atau kerusi ‘boleh menang’ diberikan kepada sayap itu pada PRU15.

Ketua Pemuda Amanah Nasional Mohd Hasbie Muda berkata, sayap itu menuntut agar kerusi yang diagih perlu setanding dengan rakan politik lain iaitu bersifat boleh menang.

"Ada rakan sebut kekecewaan, parti lebih mudah melepaskan kerusi gred A kepada rakan, kepada sayap pemuda sendiri kerusi ‘national service’ sahaja diberikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Awan pula tidak mahu sekadar diberi kerusi sebagai cukup syarat untuk bertanding pada PRU15.

Sebaliknya ketuanya, Aiman Athirah Sabu mengharapkan kerusi itu lebih strategik dan berpotensi untuk menang.