Kenal pasti status pengundi: Srikandi Bersatu

Azizah (hadapan, enam dari kanan) bersama barisan kepimpinan dan jentera Srikandi cawangan dan pengerusi jentera PDM Parlimen Beaufort.
Azizah (hadapan, enam dari kanan) bersama barisan kepimpinan dan jentera Srikandi cawangan dan pengerusi jentera PDM Parlimen Beaufort.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) diminta untuk mengenal pasti status pengundi di kawasan masing-masing sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, status kedudukan pengundi sama ada dalam atau luar kawasan juga perlu dikenal pasti.

"Ketua-ketua PDM bukan sahaja perlu mengenal pasti pengundi tetapi juga status pengundi sama ada 'putih', 'kelabu' (kawasan yang boleh dikatakan 50-50 peluang untuk menang) mahupun 'hitam'.

"Dalam masa sama, PDM juga perlu mengetahui status kedudukan pengundi sama ada berada dalam kawasan mahu pun luar kawasan. Ini akan membantu jentera parti agar lebih bersedia berhadapan dengan PRU15 dengan teratur dan lebih sistematik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan khas dengan Ketua-ketua Srikandi cawangan dan pengerusi jentera PDM Parlimen Beaufort di Dewan PPS Sembulan pada Jumaat.

Sehubungan itu, Azizah yang juga Ketua Srikandi Bersatu Beaufort mahu kepimpinan Srikandi di peringkat bahagian dan cawangan memiliki semangat solidariti dan jati diri yang kental dalam mengukuhkan jentera parti.

"Semua Ketua PDM perlu menguatkan dan mantapkan lagi perancangan yang sedia ada. Kesiapsiagaan jentera Srikandi terutamanya Sri10 perlu lebih utuh dan sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi PRU15 pada bila-bila masa," katanya.

Beliau dalam pada itu turut meminta jentera tidak melupakan pengundi muda dan harus memikirkan taktik memikat hati pengundi muda.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap semua ketua-ketua PDM dan ketua-ketua Srikandi cawangan, akan mengambil peranan dan merancang program ke arah menarik minat anak muda ini,” ujarnya.