Kawal pertukaran wang asing menjelang Bajet 2023

Tengku Razaleigh (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli Lembaga Koperasi KGMMB Bhd, Megat Pauzi Ibrahim (dua dari kanan) pada Jumaat.
Tengku Razaleigh (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli Lembaga Koperasi KGMMB Bhd, Megat Pauzi Ibrahim (dua dari kanan) pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Menjelang Bajet 2023, kerajaan disarankan mengawal kedudukan tukaran mata wang asing berikutan ringgit yang semakin merosot.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah berkata, nilai tukaran ringgit semakin jatuh dengan tidak terkawal dan berharap kerajaan cuba mengawal melalui peningkatan produktiviti serta daya pengeluaran dalam negara.

“Sejauh mana ringgit akan terus jatuh. Apakah ringgit kita akan jadi macam duit kertas zaman Jepun.

“Nak pergi ke pasar perlu cari empat, lima beca untuk isi duit atau guni atau pun hingga kita tak mampu lagi nak membayar apa-apa yang kita nak beli,” katanya ketika ditemui selepas Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Berhad (Bhd) ke-24 (2022) di Hotel Grand River View di sini pada Jumaat.

Tengku Razaleigh turut membuat perbandingan semasa selepas negara baharu mencapai Kemerdekaan, pemimpin terdahulu amat menekankan keupayaan dalam mengeluarkan produk sendiri untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import.

“Produktiviti dan daya pengeluaran negara sudah jatuh, sekarang ni kita nak import saja, tak nak buat sendiri. Barang kita boleh buat sendiri pun kita masih nak import.

“Zaman selepas merdeka dulu, kita cuba buat semua barang yang kita mampu buat dan hentikan mengimport, maka kita dapat melawan kenaikan harga barang di luar negara,” katanya.

Menurut beliau, pengeluaran sendiri juga akan memberikan lebih peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan menambahkan kemahiran.

Artikel Berkaitan:

“Aliran keluar mata wang negara juga akan berkurangan seterusnya dapat meningkatkan eksport barangan tempatan.

“Kita juga akan bijak buat perbandingan dan rundingan urusan jual beli barang import kerana tidak boleh ditipu memandangkan kita mengetahui tentang kos pengeluaran sesuatu barangan,” katanya.

Tambah beliau, nilai ringgit yang dibiar terus jatuh boleh menyebabkan kesan lebih buruk seperti harga rumah yang dibeli ratusan ribu ringgit akan merudum dan memudahkan orang luar datang membeli rumah atau harta milik kita dengan harga yang murah.

Dalam perkembangan lain, katanya, kejatuhan mendadak harga getah di pasaran memberi kesan kepada pekebun kecil hingga menjejaskan pendapatan mereka.

“Malaysia bersaing dengan negara pengeluar getah seperti Thailand, Indonesia, Afrika dan Brazil yang sudah sampai di peringkat mampu mengeluarkan getah tiruan dengan harga yang paling rendah,” katanya.