11 saranan untuk kebajikan golongan OKU

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi mengemukakan 11 saranan bagi peruntukan Bajet 2023 untuk kebajikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Ahli Dewan Negara yang mewakili Orang Kurang Upaya (OKU) itu berkata, cadangan berkenaan meliputi banyak perkara termasuk pembinaan Sekolah Sukan OKU yang pertama di Malaysia.

“Ini adalah bagi memastikan golongan OKU terus cemerlang dalam bidang berkenaan.

“Kerajaan perlu terus melipat gandakan usaha memperkasakan dan pembangunan OKU selari dengan kejayaan atlet golongan ini dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujar Ras Adiba, kerajaan harus memberi peruntukan bagi menambah baik kemudahan sekolah supaya mesra kepada murid berkeperluan khas (MBK).

Menurutnya, bajet 2023 juga perlu memperuntukkan insentif khas kepada golongan OKU bagi urusan pembelian teknologi bantuan.

“Tumpuan harus diberikan kepada teknologi bantuan seperti untuk kegagalan fungsi motor, perisian Pengecaman Aksara Optik (OCR), paparan Braille dan alat Komunikasi Augmentatif dan Alternatif (AAC), peranti mobiliti seperti alat bantu jalan dan kerusi roda, serta perkakasan dan perisian.

“Selain itu, peruntukkan khas perlu diberikan kepada Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) bagi melaksanakan intervensi, bimbingan dan menyediakan keperluan semasa kepada individu yang menghadapi masalah kesihatan mental,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ras Adiba
Ras Adiba

Di samping itu, Ras Adiba berkata, peruntukkan khas kepada Prasarana Berhad juga perlu disediakan bagi memperkenal kembali perkhidmatan pengangkutan pintu-ke-pintu di mana ia membantu memudahkan urusan pergerakan dan mobiliti OKU Fizikal dan terlantar.

Ulas beliau, bantuan Kebajikan Mahasiswa OKU yang disediakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu dinaikkan dengan mengambil kira keperluan mahasiswa OKU.

“Pembinaan Genius kurnia yang ketiga juga harus disegerakan melalui Bajet 2023. Kini hanya terdapat dua buah Genius Kurnia yang sememangnya tidak cukup bagi komuniti OKU.

“Saya cadangan agar kerajaan mewujudkan Dana Wakaf Penyakit Ganjil (Rare Disease Endowment Fund) melalui Bajet 2023 yang membolehkan semua pihak termasuk kerajaan, swasta dan masyarakat madani untuk menderma,” menurutnya.

Kata beliau, kerajaan melalui bajet 2023 harus memberi pengecualian cukai import untuk kenderaan khas dan subsidi kepada kenderaan khas yang dipasang di dalam negara.

“Sediakan Pas pengangkutan awam iaitu Pas Mobiliti OKU Keluarga Malaysia bagi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Bas Rapid Transit (BRT), Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan lain-lain kepada semua golongan OKU berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Peruntukkan kepada Pusat Kehidupan Berdikari atau Independent Living Centre (ILC) iaitu pusat yang menawarkan perkhidmatan asas untuk memperkasakan OKU,” ulasnya.