Emas Hari Malaysia untuk Johor: Sureeya

Atlet Karate Johor S Sureeya (depan, kanan) beraksi ketika menentang atlet Selangor Thevadharshan (kiri) dalam acara Kumite 67 Kilogram Kategori Lelaki Akhir pada Sukan Malaysia 2022 (Sukma) di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam, pada Jumaat. - Foto Bernama
Atlet Karate Johor S Sureeya (depan, kanan) beraksi ketika menentang atlet Selangor Thevadharshan (kiri) dalam acara Kumite 67 Kilogram Kategori Lelaki Akhir pada Sukan Malaysia 2022 (Sukma) di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A
ATLET karate lelaki kebangsaan H Sureeya Sankar yang merangkul emas pada penampilan pertamanya di Sukan Malaysia (Sukma), mahu mendedikasikan kejayaan cemerlang itu buat negeri kelahirannya Johor sempena sambutan Hari Malaysia 2022.

Pemenang emas Sukan Sea Hanoi itu, ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila mudah menundukkan lawan dari Selangor, K Thevadharshan 8-0 pada pertarungan final acara kumite lelaki 67 kilogram (kg) di Dewan Kompleks Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, pada Jumaat.

Atlet berusia 20 tahun itu, mengakui sedikit tertekan dengan status pemenang dua pingat emas di Hanoi, namun bersyukur mampu mempersembahkan ‘magis’ di hadapan penyokong kontinjen Johor yang hadir memberikan motivasi kepadanya.

"Memang gugup untuk kali pertama di Sukma, namun saya memang sasarkan emas dan bila dapat capai memang tersangat gembira. Sebab kenapa saya sangat mahukan kemenangan ini adalah kerana mahu sentiasa mendominasi kategori kesukaan saya ini.

"Saya memang ada pelan dari awal, jadi bila ia berhasil dengan saya sentiasa mendahului pergerakan lawan sudah semestinya saya suka. Namun saya tahu ketinggian lawan (Thevadharshan) lebih tinggi dari saya, jadi memang cuba tenang pada permulaan tadi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, atlet Pulau Pinang Lim Hui Ling, 19, yang membuat penampilan kali kedua Sukma mahu kejayaan mengenggam emas menerusi acara kata individu wanita, sentiasa menjadi pendorong buat beliau mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

Dalam pada itu, emas bagi kategori kumite melebihi 68kg wanita pula, disambar atlet Terengganu Zakiah Adnan manakala bawah 68kg disambar atlet Sabah Amirah Syahirah Azlan.

Bagi kategori kumite melebihi 84kg lelaki, petarung dari Negeri Sembilan A. Denishroy muncul juara, manakala kategori bawah 84kg dimenangi atlet Wilayah Perseketuan G.Kathish dan gelaran kategori lelaki bawah 75kg disambar M. Gogulnath dari Selangor. - Bernama

Artikel Berkaitan: