Kenderaan Exco Johor disaman kerana potong barisan

Tangkap layar laporan Sinar Harian 16 September 2022.
Tangkap layar laporan Sinar Harian 16 September 2022.
A
A
A

BATU PAHAT - Kenderaan yang dikhaskan untuk kegunaan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon, pada Jumaat dikenakan tindakan saman kerana memotong barisan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pemandu kenderaan warna hitam Jenis Toyota Camry itu telah dipanggil pada 3.30 petang Jumaat atas kesalahan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya menerima video tular mengenai kejadian itu pada 11 malam, Rabu lepas.

"Siasatan yang dijalankan mendapati kesalahan tersebut berlaku di Jalan Tongkang Pechah di sini pada 9.45 pagi, Isnin lepas.

"Hasil semakan mendapati kenderaan itu milik Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang dikhaskan penggunaan kepada Yang Berhormat Ling Tian Soon, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Kes disiasat mengikut Peraturan 6(1) Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 6(1) LN 166/59).

Sebelum itu, video berdurasi 24 saat memaparkan tindakan sebuah kereta milik exco kerajaan negeri yang menggunakan laluan kecemasan ketika keadaan jalan sesak dipercayai di Tongkang Pechah telah tular di media sosial. - Bernama

Artikel Berkaitan: