PRU15: BN Johor ikut ketetapan parti bergerak solo

Hasni (tiga dari kanan) berjalan kaki pada Program Benut Fun Walk, Hari Tanpa Kenderaan di Pekan Benut pada Jumaat.
Hasni (tiga dari kanan) berjalan kaki pada Program Benut Fun Walk, Hari Tanpa Kenderaan di Pekan Benut pada Jumaat.
A
A
A

PONTIAN - BN Johor berpegang kepada prinsip tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Pas bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, pendirian itu selari dengan pendirian pucuk pimpinan yang menetapkan gabungan itu akan bergerak secara solo pada pilihan raya akan datang.

"BN dan UMNO Johor bersetuju dan berpegang kepada prinsip yang diputuskan pucuk pimpinan bahawa sebarang bentuk kerjasama dengan parti yang bertanding sama ada Pas atau mana-mana parti hendaklah dibuat selepas keputusan PRU15 nanti.

"Selepas itu jika ada keperluan atau hasrat menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak dibuat nanti," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata demikian ketika ditemui pada Program Benut Fun Walk, Hari Tanpa Kenderaan di Pekan Benut di sini pada Jumaat.

Pada Rabu, Ketua Bahagian UMNO Besut, Datuk Nawi Mohamad dilaporkan berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) perlu akur dengan kehendak ahli di peringkat akar umbi yang memutuskan agar tiada sebarang kerjasama dengan parti itu pada PRU akan datang.

Dalam pada itu, Hasni menyifatkan dakwaan berlaku perbezaan pendapat antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob cuma diadakan-adakan sesetengah pihak.

"Sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri berpendapat tiada isu berkenaan siapa 'poster boy' BN dalam kita hadapi PRU15. Saya tak rasa ada masalah antara presiden parti dan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO seperti yang dikhabarkan.

Artikel Berkaitan:

"Ada pihak pula mendakwa tindakan akan diambil terhadap Perdana Menteri jika PRU15 tidak segera diadakan. Ini hanya sekadar khabar angin dan cerita yang direka sesetengah pihak.

"Presiden UMNO hanya nyatakan PRU15 perlu dipercepatkan dan keputusan penetapan tarikh diserahkan kepada Perdana Menteri," katanya.