PKR lebih hati-hati pilih calon di kerusi 'pengkhianat'

Rodziah
Rodziah
A
A
A

AMPANG - Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih berhati-hati meletakkan calon di kerusi yang dilabelkan sebagai 'pengkhianat' seperti Ampang dan Gombak.

Penyelaras Parlimen Ampang, Rodziah Ismail berkata, kriteria calon diperketatkan dan aspek kesetiaan menjadi keutamaan dalam pemilihan wakil PKR di Parlimen tersebut.

Menurut Rodziah, beliau mengalu-alukan calon 'heavyweight' dan 'solid' yang diyakini boleh menang jika bertanding di Ampang.

"Soal calon, PKR titik beratkan keseimbangan antara wakil lelaki, wanita dan anak muda. Selain itu, kesesuaian calon juga menjadi pertimbangan.

"Kesetiaan menjadi faktor utama supaya kejadian lompat parti di Ampang tidak berulang. Ia bukan soal isu lompat parti malah telah menyebabkan keruntuhan kerajaan. Jadi kriteria calon diperketatkan," katanya pada program Ampang Heritage Fun Run di Kampung Baru Ampang di sini pada Jumaat.

Rodziah (lima dari kanan) bergambar bersama peserta Ampang Heritage Fun Run di Kampung Baru Ampang pada Jumaat.
Rodziah (lima dari kanan) bergambar bersama peserta Ampang Heritage Fun Run di Kampung Baru Ampang pada Jumaat.

Ketika diminta mengulas namanya antara disebut sebagai calon kerusi Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Rodziah beranggapan itu sekadar gurauan memandangkan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum mengeluarkan senarai calon PRU15 yang dijangka diketahui pada Oktober.

Bagaimanapun beliau berkata, bersedia menggalas tanggungjawab berdasarkan pengalaman tiga penggal menyandang kerusi Ahli Dewan Undangan (ADUN) Batu Tiga.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak boleh jawab siapa bakal calon kerana itu hak presiden tapi parti telah tetapkan Ampang antara kerusi yang perlu diberikan perhatian.

"Kalau diikutkan Ampang kerusi wanita dan saya serahkan kepada pihak parti untuk tentukan. Tanggungjawab saya sekarang adalah pastikan persediaan hadapi PRU15 dilakukan sebaik mungkin," katanya.

Tegasnya, sama ada dicalonkan atau sebaliknya tidak menjadi keutamaan memandangkan beliau tidak pernah memilih lokasi untuk bertanding.

"Sebenarnya ia terpulang kepada pimpinan parti untuk menamakan, saya pula sejak dulu tidak 'booking' tempat bertanding. Jika disuruh bertanding, saya bersiap sedia. Dimana-mana tempat diletakkan saya akan sedia serah bakti, kalau tak ada pun tiada masalah," katanya.