Afghanistan kecam tindakan AS pindahkan AS$3.5 bilion

Afghanistan kini berdepan masalah ekonomi yang teruk. - Foto AFP
Afghanistan kini berdepan masalah ekonomi yang teruk. - Foto AFP
A
A
A

NEW DELHI - Kerajaan sementara Afghanistan mengecam keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk memindahkan AS$3.5 bilion aset bank pusat Afghanistan ke sebuah entiti yang berpangkalan di Switzerland.

Wang daripada rizab beku Da Afghanistan Bank (DAB) akan digunakan untuk "membantu menstabilkan ekonomi Afghanistan", menurut Perbendaharaan AS pada Rabu.

Sementara itu, Kementerian Luar Afghanistan pada Khamis mendakwa bahawa pemindahan sebahagian daripada rizab DAB di AS ke Switzerland dan penggunaannya tanpa sebarang input dari Afghanistan adalah "tidak boleh diterima dan melanggar norma antarabangsa".

"Rizab ini tidak boleh digunakan untuk sebarang tujuan pengeluaran.

"Mengeluarkan rizab ini untuk tujuan lain tanpa persetujuan rakyat Afghanistan ialah langkah negatif terhadap kestabilan ekonomi Afghanistan yang dilakukan oleh AS.

"AS mengambil langkah ini tanpa berunding atau mendapatkan persetujuan kami, ia boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Afghanistan," kata jurucakap kementerian Abdul Qahar Balkhi dalam satu kenyataan.

Difhamkan AS menubuhkan "Dana Afghan" melalui Perbendaharaan dan Jabatan Negara dengan penyelarasan kerajaan Switzerland dan "pakar ekonomi Afghanistan".

"Taliban bukan sebahagian daripada Dana Afghan, dan perlindungan ketat dibuat bagi menghalang dana digunakan untuk aktiviti haram.

Artikel Berkaitan:

"Akaun Dana Afghan akan dikekalkan dengan Bank untuk Penyelesaian Antarabangsa (BIS) yang berpangkalan di Switzerland," menurut kenyataan Perbendaharaan AS.

Dana itu akan membantu mengurangkan cabaran ekonomi yang dihadapi Afghanistan sambil melindungi dan memelihara rizab US$3.5 bilion daripada DAB, serta memberi manfaat kepada rakyat Afghanistan, kata timbalan setiausaha Perbendaharaan AS,Wally Adeyemo.

Pentadbiran Presiden Joe Biden telah membekukan kira-kira US$9.5 bilion aset bank pusat Afghanistan di AS selepas Taliban mengambil alih Kabul pada Ogos 2021 susulan kejatuhan rejim Ashraf Ghani yang disokong AS.

Pengumuman AS pada Rabu untuk menubuhkan dana amanah yang berpangkalan di Switzerland berdasarkan perintah eksekutif Biden pada Februari tahun ini. - Bernama