Samy Vellu tokoh legenda industri pembinaan negara

Orang ramai hadir memberi penghormatan terakhir terhadap mendiang Samy Vellu di ibu negara pada Khamis. - Foto Bernama
Orang ramai hadir memberi penghormatan terakhir terhadap mendiang Samy Vellu di ibu negara pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) menzahirkan penghormatan kepada mendiang Tun S Samy Vellu dan menyifatkannya sebagai tokoh legenda yang menyumbang secara meluas kepada negara khususnya kepada industri pembinaan tempatan.

Presiden MBAM, Oliver HC Wee berkata, sepanjang tahun-tahun mendiang Samy Vellu berkhidmat sebagai Menteri Kerja Raya dari 1979 hingga 1989 dan dari 1995 hingga 2008, telah membawa banyak kemajuan dan pembangunan kepada industri pembinaan.

"Bagi pihak MBAM, saya ingin memberi penghormatan kepada mendiang. Kita kehilangan seorang tokoh legenda yang banyak menyumbang kepada negara khususnya kepada industri pembinaan Malaysia.

"Kemajuan dan pembangunan yang dibawa oleh Samy Vellu adalah cerminan watak mendiang yang akan kami hargai selama-lamanya. Semoga legasinya berkekalan dan rohnya tenang,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, Samy Vellu ialah penerima Anugerah Emas MBAM pada 1 Ogos 2003 semasa mendiang menjadi Menteri Kerja Raya.

Anugerah Emas MBAM diberikan kepada pemimpin cemerlang bertaraf nasional atau antarabangsa sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan terkemuka dan sumbangan terbilang ke arah pertumbuhan industri pembinaan khususnya dan kemajuan, pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia dan negara dalam masyarakat dunia amnya.

Samy Vellu menghembuskan nafas terakhir pada jam 7 pagi di kediamannya pada usia 86 tahun.

Sepanjang hayatnya, mendiang merupakan antara menteri kabinet paling lama berkhidmat, kira-kira 30 tahun bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979.

Artikel Berkaitan:

Semasa menjadi Menteri Kerja Raya, Samy Vellu banyak memainkan peranan dalam membangunkan rangkaian jalan raya serta pengangkutan dalam negara dan atas daya usahanya itu pada 1987, mendiang dianugerah 'International Man of the Year Award’ oleh The International Road Federation (IPF).

Sebelum itu, mendiang pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Mendiang juga pernah menerajui Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dari 1989 hingga 1995, yang menyaksikan kejayaan mendiang mengendalikan projek penswastaan Jabatan Telekom, Lembaga Letrik Negara dan Jabatan Pos, sebelum kembali ke Kementerian Kerja Raya pada 1995 hingga 2008. - Bernama