Nilai semula sistem pengurusan cukai jalan

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta menilai semula sistem pengurusan percukaian jalan bagi memastikan keadaan dan penyelenggaraan jalan raya di dalam negara dapat diuruskan dengan lebih efisien serta telus.

Aktivis keselamatan jalan raya yang juga pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi berkata, langkah itu dilihat lebih baik berbanding cadangan penghapusan cukai jalan yang menurutnya berpotensi menjejaskan tahap penyelenggaraan jalan raya di Malaysia.

Beliau yang juga dikenali Lando berkata, peruntukan bagi penyelenggaraan jalan raya ketika ini didapati tidak efisien kerana ia perlu melalui pelbagai kerenah birokrasi dan beberapa kementerian.

“Cukai jalan juga dikutip oleh Kementerian Pengangkutan dan bukannya pihak yang melakukan kerja penyelenggaraan jalan raya iaitu Kementerian Kerja Raya (KKR).

“Jadi, inilah antara punca kenapa kerosakan jalan raya kita ini lambat diambil tindakan kerana banyak hierarki dan birokrasi yang perlu dilalui,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis bagi mengulas mengenai cadangan penghapusan cukai jalan untuk meringankan beban rakyat.

Ahli Dewan Negara, Muhammad Zahid Md Arip menyarankan kerajaan agar menghapuskan cukai jalan kenderaan bagi meringankan beban rakyat memandangkan sistem cukai kenderaan yang diguna pakai pada ketika ini berkonsepkan cukai atas cukai.

Katanya, pemilik kenderaan di dalam negara ketika ini berdepan dengan sistem cukai yang berlapis seperti duti import, cukai eksais, cukai SST dan cukai jalan.

Azlan bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana berpendapat kerja penyelenggaraan jalan sememangnya memerlukan peruntukan dana daripada percukaian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, untuk memastikan pengurusan percukaian lebih efisien, kerajaan dicadang menggabungkan pihak menjalankan fungsi mengutip cukai jalan dan menyelenggara jalan raya di bawah satu kementerian.