Harimau Muda tak boleh cicir mata

Hassan Sazali berharap skuad Harimau Muda mampu mengutip tiga mata apabila berdepan Sri Lanka dalam aksi kedua Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-20 2023 di Stadium MFF, Ulaanbaatar pada Jumaat. - Foto FB FAM
Hassan Sazali berharap skuad Harimau Muda mampu mengutip tiga mata apabila berdepan Sri Lanka dalam aksi kedua Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-20 2023 di Stadium MFF, Ulaanbaatar pada Jumaat. - Foto FB FAM
A
A
A

SKUAD Bawah19 tahun (B-19) negara bakal mengharungi laluan penuh getir untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia B-20 2023 selepas seri 1-1 menentang tuan rumah, Mongolia dalam aksi Kumpulan E kempen kelayakan pada Rabu.

Bagaimanapun, pengendali skuad B-19 negara, Hassan Sazali Waras percaya skuad kendaliannya masih berpeluang untuk mara ke pusingan akhir di Uzbekistan tahun depan jika berjaya mengutip tiga mata penuh bertemu Sri Lanka pada Jumaat.

Justeru, beliau menggesa anak-anak buahnya untuk segera bangkit mencipta kemenangan dalam aksi tersebut bagi mencerahkan lagi peluang mereka sebelum berdepan gergasi Asia, Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E di venue sama Ahad ini.

“Sudah tentu barisan jurulatih dan juga pemain-pemain negara sedikit kecewa pada perlawanan menentang Mongolia kerana sasaran utama adalah untuk meraih tiga mata tetapi hanya dapat satu mata. Jadi mahu atau tidak, pasukan negara wajib menang apabila menentang Sri Lanka esok (Jumaat) dan seboleh-bolehnya cuba mendapatkan jaringan dengan margin yang besar.

“Untuk berada dalam kelompok lima pasukan (terbaik) di tempat kedua, jumlah jaringan gol akan diambil kira. Jadi saya berharap mereka mampu untuk menampilkan aksi yang terbaik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Pada masa sama, Hassan berkata, Sri Lanka sudah tentu akan tampil dengan corak permainan yang berbeza dalam misi mencari kemenangan selepas tewas besar 0-6 kepada Korea Selatan dalam satu lagi aksi Kumpulan E.

“Sudah tentu ia bukan tugas menentang Sri Lanka. Saya berasakan Sri Lanka sudah tentu akan bermain bersungguh-sungguh kerana sebelum ini mereka kalah kepada Korea Selatan.

“Jadi saya ingin mengingatkan setiap pemain agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Apa yang penting, barisan serangan dapat menyudahkan peluang yang ada,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam aksi pembukaan Kumpulan E di Stadium MFF, Ulaanbaatar pada Rabu, Harimau Muda terpaksa berpuas hati dengan meraih satu mata apabila jaringan Alif Izwan Yuslan berjaya memadam gol pembukaan Mongolia menerusi Buyannemekh Ganbat.

“Secara keseluruhannya, pasukan berjaya menguasai permainan, cuma barisan serangan kita gagal menyudahkan beberapa peluang terbaik yang diperoleh. Pasukan tuan rumah pula bermain secara bertahan setelah mereka berjaya mendahului,” jelasnya.