Skuad hoki Pahang beri amaran awal

Skuad hoki Pahang (jersi putih) memulakan langkah positif setelah menewaskan Pulau Pinang 3-2 pada aksi pertama Kumpulan B di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto FB Majlis Sukan Pahang.
Skuad hoki Pahang (jersi putih) memulakan langkah positif setelah menewaskan Pulau Pinang 3-2 pada aksi pertama Kumpulan B di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto FB Majlis Sukan Pahang.
A
A
A

SKUAD hoki lelaki Pahang memulakan langkah kanan untuk merampas pingat emas acara itu di Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 setelah mengalahkan Pulau Pinang 3-2 ketika aksi pertama Kumpulan B di Stadium Hoki Nasional

Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Jurulatih Pahang, Mohd Sufian Mohamad gembira dengan kemenangan itu, tetapi menegaskan masih banyak perlu diperbaiki untuk perlawanan kedua menentang Negeri Sembilan, pada Jumaat.

"Permulaan yang sangat baik, cuma pemain tidak dapat menjaringkan gol selepas dihidangkan peluang begitu banyak sekali," katanya.

Pada edisi 2018 di Perak, Pahang berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas di tangan Sabah menerusi penalti shoot-out dalam aksi final.

Mohd Sufian juga memuji para pemain yang memberikan komitmen tinggi dan fokus sepanjang perlawanan untuk meraih kemenangan berharga.

"Saya gembira dengan pemain yang terus sabar untuk mencari gol dan mereka memberikan komitmen tinggi sehingga perlawanan tamat.

"Saya akan buat analisis video dan lebihkan fokus kepada serangan pukulan sudut penalti. Hari ini kita dapat banyak pukulan sudut penalti, tetapi masih kurang kemas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Idris Saad meledak dua gol buat Pahang pada minit ke-22 dan 40 selain satu daripada Muhammad Noor Firdaus Rosdi minit ke-37.

Pulau Pinang yang dikendalikan bekas pemain kebangsaan, Jiwa Mohan memperoleh gol menerusi Angad Singh Khalsa dan Muhammad Haikal Hilman Mohamad Hanfiah pada minit ke-35 dan 51.

Dalam pada itu, dua pasukan juara bertahan acara hoki lelaki dan wanita bermula langkah positif apabila menewaskan lawan masing-masing.

Skuad hoki lelaki Sabah yang melakar sejarah muncul juara kali pertama pada 2018 di Perak, menewaskan Kedah 3-0 dalam aksi Kumpulan A.

Granson Noel Goden muncul wira Sabah apabila menjaringkan dua gol padang pada minit ketujuh dan ke-50 sebelum Mohd Nor Ismail Jamail menambah gol ketiga seminit kemudian untuk mengesahkan kemenangan Sabah.

Skuad wanita Selangor pula tidak berdepan masalah mengalahkan Terengganu 4-1 pada aksi Kumpulan X.

Bagaimanapun, Terengganu di depan menerusi gol Nurul Farawahida Marzuki minit ke-16 sebelum Ellya Amanina Ellias menyamakan kedudukan hasil penalti stroke minit ke-21.

Nur Insyirah Effarizal menambah gol kedua minit ke-31 hasil jaringan padang, manakala Dayang Nuramirah Abang Mahadini menokok gol ketiga minit ke-45 selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Siti Mariani Hashim mengesahkan kemenangan Selangor menerusi gol keempat minit ke-60.