22 nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

Seramai 22 nelayan warga Indonesia ditahan selepas didapati menangkap ikan di perairan negara pada Rabu.
Seramai 22 nelayan warga Indonesia ditahan selepas didapati menangkap ikan di perairan negara pada Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 22 nelayan Indonesia ditahan Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas menceroboh perairan negara di negeri ini pada Rabu.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kesemua mereka ditahan di kedudukan 51.9 batu nautika barat daya Pulau Kendi oleh anggota yang sedang melakukan rondaan rutin Op Benteng Laut kira-kira jam 2.50 petang.

Menurutnya, ketika ditahan kesemua nelayan asing itu sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan asing KM Sumber Lestari itu dikendalikan oleh 22 kru termasuk tekong yang kesemua warga Indonesia berumur lingkungan 20 hingga 56 tahun.

"Ketika diperiksa kesemua mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri atau pasport dan mereka dibawa ke Maritim Negeri Pulau Pinang sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan di sini pada Khamis.

Abd Razak berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.

Katanya, kesemua mereka juga akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada di Malaysia tanpa suatu pas yang sah.

Dalam pada itu, Abd Razak turut menyeru orang ramai dan persatuan nelayan untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut.

Artikel Berkaitan:

Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146.