'Fahmi sekadar bercakap dengan dinding'

Noor Hariri
Noor Hariri
A
A
A

KOTA BHARU - "Beliau hanya bercakap dengan tembok dinding," kata Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor mengenai kenyataan Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu melalui Facebooknya pada Rabu membayangkan banyak transformasi bakal dilaksanakan jika Pakatan Harapan (PH) diberi mandat memerintah negara.

Bagaimanapun, tegas Noor Hariri, maksud sebenar transformasi ialah perubahan daripada biasa kepada perkara yang baik.

"Jangan menampakkan kita sebagai seorang ahli Parlimen mengeluarkan kenyataan yang jauh menyimpang daripada perkara sebenar.

"Ia bukan seperti yang dilaksanakan oleh PH selama 22 bulan memerintah negara ini. Huru-hara antara kaum," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Noor Hariri turut mendakwa, sistem kehakiman ketika pentadbiran PH juga goyah apabila banyak kes berprofil tinggi digugurkan.

"Mungkin takrifan transformasi zaman PH ialah menjual aset ke negara luar sedangkan operasinya memberi keuntungan dalam bentuk nilaian dan kepakaran kepada kerajaan sebelum ini," katanya.

Dakwanya lagi, pemimpin PH pada zaman pemerintahan mereka juga melaksanakan perkara tidak masuk akal termasuk perasmian tandas, lif, pagar dan kepala paip.

Beliau sehubungan itu turut mengingatkan pemimpin-pemimpin PH tidak sesekali mengambil mudah berhubung tahap pemikiran rakyat semata-mata demi kepentingan politik.

"Jangan merendahkan intelektual rakyat khususnya pengundi yang tahu bahawa parti mana yang yang memberi janji kosong sebagai manifesto untuk memenangi pilihan raya.

"Hakikatnya parti itulah yang akan ditolak oleh rakyat dan anak muda," katanya