F1 mungkin kembali ke Malaysia tiga tahun lagi

Kali terakhir F1 dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang ialah pada 2017. Foto Agensi.
Kali terakhir F1 dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang ialah pada 2017. Foto Agensi.
A
A
A

IMPIAN rakyat Malaysia untuk kembali menyaksikan perlumbaan Formula Satu (F1) kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam tempoh terdekat mungkin tidak kesampaian.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif susulan negara masih dalam proses pemulihan ekonomi akibat kesan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun beliau berkata, ia mungkin akan dipertimbangkan untuk kembali menganjurkan perlumbaan itu selepas dua atau tiga tahun.

"Buat masa ini, jawapannya adalah tidak, bukan dalam masa terdekat. Mungkin dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi apabila ekonomi sudah stabil," kata Azhan di Singapura.

Beliau mengulas ketika ditanya cadangan Malaysia untuk menganjurkan kembali perlumbaan F1.

Kali pertama litar Sepang menganjurkan perlumbaan itu ialah pada tahun 1999 dengan perlumbaan terakhir pada tahun 2017.

Azhan berkata, penganjuran F1 di Malaysia sebelum ini bertujuan memperkenalkan negara di mata dunia menerusi sukan pelancongan, namun kerajaan perlu mengkaji manfaatnya untuk perlumbaan itu kembali ke Sepang.

Beliau dan beberapa pegawai SIC berada di Singapura bagi mempromosi perlumbaan MotoGP Petronas yang akan berlangsung di Sepang pada 21 hingga 23 Oktober depan.

Artikel Berkaitan:

Ia adalah perlumbaan MotoGP pertama di Sepang selepas dua tahun dibatalkan akibat pandemik.

Singapura menganjurkan perlumbaan F1 di litar jalan raya pada sebelah malam dari 30 September sehingga 2 Oktober.

Menurut Azhan, Singapura membuat keputusan tepat untuk memasukkan elemen hiburan dalam perlumbaan apabila turut menganjurkan konsert dan pesta.

“Jika F1 ingin kembali ke Malaysia, ia perlu disokong oleh perkara lain, bukan perlumbaan semata-mata. Perlu ada tujuan lain mengapa kami menganjurkan F1,” jelas beliau.