Mane masih sesuaikan diri cara Bayern Munich

Sadio Mane - Foto AFP
Sadio Mane - Foto AFP
A
A
A

SADIO Mane masih menyesuaikan diri dengan gaya permainan Bayern Munich, tegas pengendali juara liga Bundesliga Jerman, Julian Nagelsmann.

Pada masa sama Nagelsmann berkata, bekas penyerang sensasi Liverpool tersebut juga harus lebih yakin pada diri sendiri, selepas gagal menjaringkan gol ketika Bayern Munich menang 2-0 ke atas Barcelona dalam aksi Liga Juara-Juara.

Lucas Hernandez dan Leroy Sane menjaringkan gol ketika Bayern menang di Allianz Arena, dengan Mane digantikan pada minit ke-70.

Mane sebelum ini telah menjaringkan lima gol untuk kelab Bundesliga itu sejak berpindah dari Liverpool, namun berdepan kemarau jaringan dalam empat perlawanan terakhir.

"Ia agak normal sebagai pendatang baharu, sudah tentu masih perlu menyesuaikan diri dengan prosedur tertentu yang sedikit berbeza ketika di Liverpool.

"Saya sudah maklumkan kepadanya pada minggu ini untuk dia lakukan lebih banyak perkara. Mungkin kurang mencari bola atau rakan sepasukan, sebaliknya cuba menjadi lebih yakin pada diri sendiri.

"Tetapi kami sangat gembira kerana memilikinya dan dia akan meletakkan penanda aras pada permainan kami,” kata Nagelsmann.

Bayern akan bertandang ke Augsburg dalam perlawanan Bundesliga pada Sabtu.

Artikel Berkaitan: