ONEXOX perkenal pelan eksklusif buat penyokong Perak FC

No Image Caption
A
A
A

ONEXOX Sdn Bhd, anak syarikat XOX Berhad yang beroperasi sebagai Pengendali Rangkaian Mudah Alih Maya memperkenalkan Pelan ONEXOX Edisi The Bos Gaurus (TBG) iaitu pelan eksklusif terbaharunya yang direka khas buat penyokong Perak FC.

ONEXOX dalam kenyataan memaklumkan pelan itu akan menjadi pelengkap bagi penyokong TBG dengan pelbagai ciri untuk meningkatkan penglibatan para peminat bola sepak tempatan selain berita terkini tentang kelab kegemaran mereka yang akan terus dihantar ke telefon mudah alih.

ONEXOX memperkenalkan lima pelan untuk peminat TBG iaitu pelan RM39 (18GB data), RM49 (48GB), RM59 (44GB berkelajuan tinggi penuh) dan RM89 (100GB) untuk memberikan lebih pilihan buat para pengguna khususnya penyokong bola sepak Perak selain pakej RM150 untuk menikmati data dan masa berbual tanpa had.

Menurut ONEXOX, kelebihan langganan pelan itu termasuk barangan rasmi Perak FC percuma bernilai sehingga RM150, tiket percuma untuk menonton perlawanan Perak FC di Stadium Perak dan diskaun-diskaun menarik untuk pas bermusim Perak FC.

"Kelebihan lain ialah disediakan pakej hospitaliti pada hari perlawanan, diskaun eksklusif untuk barangan rasmi Perak FC dan pengisian 'eksklusif hanya untuk penyokong' berkaitan dengan kelab dan berita tersebut akan terus dihantar ke telefon mudah alih," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Menurut ONEXOX, sebagai bonus tambahan daripada kempen 'Deme Menang, Kome Dapat' pelanggan boleh menikmati ganjaran penambahan data percuma setiap kali Perak FC memenangi perlawanan.

Menurut kenyataan itu, kempen yang dilancarkan itu juga akan memberikan hasil yang mampan kepada kelab berdasarkan pelanggan-pelanggan yang membayar bil telefon mereka setiap bulan.

"Sebahagian daripada pungutan keuntungan kemudiannya akan diagihkan kepada kelab bola sepak yang akan mewujudkan aliran pendapatan tambahan dalam usaha pengkomersialan kelab.

Artikel Berkaitan:

"Kerjasama ini akan membantu capaian ONEXOX kepada sebahagian daripada 700,000 penyokong setia Perak FC di Malaysia untuk menggunakan hak imej kelab, pemain termasuk produk sedia ada selain pengisian untuk tujuan pemasaran," menurut ONEXOX.

ONEXOX dan Perak FC juga akan membangunkan beberapa inisiatif pemasaran bersama yang tertumpu kepada jenama eksklusif TBG pada setiap perlawanan di tempat sendiri di Stadium Perak. - Bernama