Kelayakan Piala Asia B-20: Malaysia, Mongolia berkongsi mata

Antara aksi pasukan negara ketika menentang Mongolia pada aksi kelayakan Piala Asia B-20 2023 di Stadium MFF Ulaanbaatar. - Foto AFC
Antara aksi pasukan negara ketika menentang Mongolia pada aksi kelayakan Piala Asia B-20 2023 di Stadium MFF Ulaanbaatar. - Foto AFC
A
A
A

SKUAD bawah-19 membuka kempen kelayakan Piala Asia bawah B-20 (B-20) dengan mengutip satu mata selepas seri 1-1 menentang Mongolia dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium MFF Ulaanbaatar, sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, pengendali skuad B-19 negara, Hassan Sazali Waras mempertaruhkan kesebelasan utama terbaik dengan membariskan Mohammad Marwan Abdul Rahman, Adam Farhan dan Muhammad Haiqal Haqeemi untuk mengetuai jentera serangan negara.

Tuan rumah bermula garang seawal minit ketiga perlawanan apabila sepakan percuma penyerangnya, Buyannemekh Ganbat hampir sahaja menewaskan penjaga gol Malaysia, Syahmi Adib Haikal.

Mongolia akhirnya berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-23 menerusi sepakan penalti Buyannemekh yang dihadiahkan pengadil perlawanan selepas sepakan penjuru diambil skuad serigala biru terkena tangan pemain Malaysia.

Tersentak dengan gol tersebut, pasukan Malaysia cuba kembali mengatur kembali corak permainan dalam misi mencari gol penyamaan.

Peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-30 menerusi Ziad El Basheer, namun rembatan pemain itu sedikit tersasar sekali gus kedudukan 1-0 kekal hingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.

Memasuki babak kedua, skuad Harimau Muda dilihat terus melakukan asakan bertali arus ke arah kubu Mongolia.

Tindakan itu nyata membuahkan hasil apabila skuad negara berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerangnya, Aliff Izwan pada minit ke-54 selepas bijak menyudahkan hantaran Najmuddin Akmal Kamal Akmal.

Artikel Berkaitan:

Percaturan Hassan membawa masuk beberapa pemain termasuk Danish Irfan Ezal dan Nazrin Mohamad Nasir bagi menguatkan jentera serangan gagal berhasil apabila skuad negara gagal menambah jaringan hingga tamat aksi.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia kini mengumpul satu mata berada di kedudukan kedua di belakang Korea Selatan yang berjaya memungut tiga mata penuh selepas membelasah Sri Lanka 6-0 pada perlawanan sebelah pagi.

Malaysia bakal bertemu Sri Lanka pada 16 September ini sebelum menutup kempen bertemu Korea Selatan pada 18 September.

Hanya juara dan lima pasukan di tangga kedua terbaik setiap kumpulan bakal mara ke perlawanan akhir Piala Asia 2023 yang akan diadakan di Uzbekistan pada tahun hadapan.