Lagi evolusi Air Selangor

Dari kiri: Suhaimi, Amirudin dan Mansor ketika Majlis Pelancaran Coffee Table Book di pusat beli-belah 1 Utama pada Selasa.
Dari kiri: Suhaimi, Amirudin dan Mansor ketika Majlis Pelancaran Coffee Table Book di pusat beli-belah 1 Utama pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - Sejak dua dekad lalu, industri air di Selangor melalui pelbagai evolusi dan cabaran dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata, usaha itu mungkin sukar dijayakan tanpa persefahaman dan gerak kerja erat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta pemegang taruh.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa meneliti pelbagai isu yang berbangkit di Selangor dari semasa ke semasa dan antara isu yang kerap kali dibincangkan ialah bekalan air bersih kepada 8.4 juta pengguna Air Selangor.

Menurutnya, sebagai sebuah syarikat milik penuh kerajaan negeri, kerajaan negeri bersama pihak berkepentingan dalam ekosistem air negeri sentiasa bekerjasama meneliti pelan perubahan serta mencari jalan penyelesaian terbaik untuk melindungi kepentingan semua pihak.

“Namun begitu, yakinlah bahawa usaha tidak akan berhenti di sini sahaja walaupun jumlah gangguan air tidak berjadual berjaya dikurangkan. Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak mengenai pencemaran menyebabkan rakyat lain menanggung perit.

“Maka, ingin saya tegaskan bahawa kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan terus berusaha untuk memperketat dan melaksanakan undang-undang, sekali gus menyelesaikan masalah gangguan bekalan air tidak berjadual untuk kebaikan sejagat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran 'Coffee Table Book' sempena ulang tahun ketiga penubuhan Air Selangor di pusat beli-belah 1 Utama di sini pada Selasa.

Buku berkenaan merupakan sebuah naskhah yang membawa coretan dan sejarah perjalanan Air Selangor dalam industri perkhidmatan air di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Mansor Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman.

Sementara itu, Amirudin berkata, penerbitan buku itu adalah ibarat sebuah laporan kemajuan Air Selangor yang menampakkan secara jelas usaha syarikat berkenaan dalam merencana strategi perniagaan dan operasi.

Selain itu, katanya, usaha dalam melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kelestarian sistem bekalan air di Selangor.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, penerbitan 'Coffee Table Book' mempunyai kenangan sentimental dalam sejarah organisasi Air Selangor apabila menempuh pelbagai cabaran untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terbesar negara dengan jumlah pengguna seramai 8.4 juta orang.