PRU15: PH Selangor yakin rakyat bijak pilih pemimpin

PH Selangor yakin dengan kebijaksanaan rakyat di negeri tersebut untuk memilih pemimpin mereka menjelang PRU15 nanti.
PH Selangor yakin dengan kebijaksanaan rakyat di negeri tersebut untuk memilih pemimpin mereka menjelang PRU15 nanti.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) di Selangor yakin dengan kebijaksanaan rakyat di negeri tersebut untuk memilih pemimpin mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar membidas tentang kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang mengatakan parti berkenaan yakin mampu menawan Selangor pada PRU15.

Namun Mohd Fakhrulrazi berkata, perkara tersebut agak mustahil berlaku di Selangor pada ketika ini kerana negeri berkenaan mempunyai pelbagai kaum.

"Saya boleh katakan rakyat di Selangor menolak Pas kecuali kekuatannya mungkin ada di kawasan luar bandar, namun masih perlu bekerjasama dengan UMNO untuk memenangi beberapa buah kerusi.

"Tapi dalam keadaan sekarang ini, kita tidak nampak pengaruh Pas semakin kuat. Bagi saya, mereka bermimpi di siang hari," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi berkata, PH sentiasa bersedia menghadapi PRU15 dan mempunyai keyakinan penuh bahawa rakyat akan mengekalkan pentadbiran parti tersebut di Selangor.

Beliau bagaimanapun berkata, tidak mustahil wujudnya pertembungan tiga penjuru antara PH, BN dan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 nanti.

"Kita yakin majoriti rakyat Selangor akan memberikan kepercayaan kepada PH kerana PN tidak mempunyai rekod dan kalau kita lihat di peringkat Persekutuan, kerajaan PN adalah kerajaan yang gagal untuk mentadbir dengan baik.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kalau di Selangor ini, mereka boleh bertanding di mana-mana sahaja. Cuma PH di Selangor ini yakin dengan kebijaksanaan rakyat Selangor yang akan buat pilihan.

"PN bukan satu ancaman, tapi lebih kepada cabaran kepada PH, maksudnya kita perlu bekerja lebih kuat untuk memastikan kita menang, dalam masa sama kita tidak boleh ambil mudah atas ancaman (PN) tersebut," katanya.

Pada Isnin, Pas yakin kerjasama bersama rakan ta'awun dan peningkatan sokongan menerusi pertambahan ahli baharu mampu merampas Selangor daripada kerajaan PH pada PRU15.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, Selangor antara negeri yang mencatatkan pendaftaran ahli baharu tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Menurutnya, Selangor berada pada tangga keempat pertambahan keahlian tertinggi sepanjang tempoh lapan bulan bermula Januari lalu.