Hari Malaysia: Lagu 'Bertuah Negaraku' bawa mesej kebangkitan negara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Lagu 'Bertuah Negaraku' yang akan dipersembahkan oleh Akademi Arjunasukma menerusi dikir barat pada sambutan Hari Malaysia 2022 di sini Jumaat ini membawa mesej kebangkitan negara dalam Fasa Peralihan ke Endemik selepas kira-kira dua tahun berdepan cabaran ekonomi akibat Covid-19.

Pengarah Urusan Akademi Arjunasukma, Mohd Sulhie Yusuf berkata, masyarakat dunia berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi di peringkat global akibat pandemik yang mula dikesan pada penghujung 2019 itu.

"Ketika pandemik berlaku, semua orang dalam keadaan sukar. Ada yang kehilangan pekerjaan dan sebagainya namun Malaysia kembali bangkit atas kecekapan pimpinan negara menyelesaikan masalah berkaitan,” katanya ketika dihubungi Bernama, pada Rabu.

Mengenai persembahan pada sambutan yang akan diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan itu, Mohd Sulhie yang mesra disapa Abe Yie berkata ia melibatkan 10 pemuzik dikir barat termasuk pemain rebana ibu dan anak, gong dan canang serta 'jogho' (penyanyi) daripada akademi itu.

Beliau berkata, awak-awak pula terdiri daripada artis budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Sebagai penggiat muzik tradisional, Abe Yie berkata, beliau bangga dengan peluang diberikan untuk membuat persembahan di peringkat kebangsaan.

"Ini kali pertama kami (Akademi Arjunasukma) membuat persembahan di pentas sebegini sekali gus mengangkat dikir barat ke satu tahap yang lebih tinggi," katanya.

Sambutan Hari Malaysia 2022 yang menampilkan keunikan dengan tema busana era 50-an dan 60-an dijangka dihadiri kira-kira 20,000 pengunjung bagi memeriahkan sambutan julung kali diadakan di Semenanjung. - Bernama

Artikel Berkaitan: