Biz Connect @WTM London peluang tembusi pasaran UK

Mohd Khalid (tiga kiri) menyasarkan 50 pemain industri pelancongan tempatan akan turut serta dalam misi Biz Connect @WTM London.
Mohd Khalid (tiga kiri) menyasarkan 50 pemain industri pelancongan tempatan akan turut serta dalam misi Biz Connect @WTM London.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menganjurkan Misi Dagang Pelancongan (Biz Connect @WTM London) sempena World Travel Market (WTM) di Excel, London pada 7 hingga 9 November ini.

Penganjuran Biz Connect @WTM London itu turut melibatkan pemain industri pelancongan tempatan dan diadakan bagi menjalinkan hubungan perniagaan bersama agensi pelancongan di London.

Presiden MATA, Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata, World Travel Market atau WTM di Excel, London merupakan pameran pelancongan antarabangsa terbesar disertai hampir semua negara di dunia.

Beliau bagaimanapun berkata, Biz Connect @WTM London akan diadakan sehari lebih awal di Holiday Inn Regent's Park terletak di tengah bandaraya London pada 6 November bermula jam 10 pagi.

"Biz Connect @WTM London diadakan sebagai pra WTM di mana peserta dari Malaysia dapat menjalinkan sesi perniagaan secara langsung dengan agensi pelancongan dari United Kingdom yang dijemput untuk menyertai Biz Connect @WTM London.

"Biz Connect @WTM London lebih menyasarkan pasaran United Kingdom berbanding semasa pameran WTM adalah pasaran secara terbuka yang bersaing dengan negara lain yang menyertai," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Khalid berkata, MATA menyasarkan 50 pemain industri pelancongan tempatan akan turut serta dalam misi Biz Connect @WTM London terdiri daripada agensi pelancongan, hotel, resort, inap desa, taman tema, pusat beli-belah, syarikat penerbangan dan pengangkutan darat serta persatuan pelancongan.

Menurutnya, sebagai rakan strategik Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), MATA akan berganding bahu membantu kerajaan Malaysia, MOTAC dan Tourism Malaysia bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelancong dari Eropah terutamanya dari United Kingdom.

Artikel Berkaitan:

"Biz Connect @WTM London menyasarkan seramai 60 lebih agensi pelancongan di United Kingdom yang telah dipilih akan hadir bagi sesi ini dan pemain Industri pelancongan tempatan digalakkan mengambil peluang menjalinkan perniagaan dengan mereka sekali gus membantu pihak MOTAC dalam merealisasikan jumlah sasaran 10 juta kedatangan pelancong," katanya.

Bagi penggiat industri yang ingin menyertai Misi Dagang Biz Connect, boleh mendaftar melalui pautan https://docs.google.com/forms/d/1mJt4W75PSXtZyITOqBrEAWn13E1cl9in 15b-72eUO68/prefill.

MATA juga dalam rangka mengadakan Misi Dagang Biz Connect @ITB Berlin dan Biz Connect @ATM Dubai pada awal tahun 2023 dan bagi pemain industri berminat menyertai Misi Dagang Biz Connect @WTM London boleh menghubungi info@mata.travel.